Bank wajar beri moratorium bersasar kepada M40 terjejas

[email protected]

KUALA LUMPUR: Moratorium bersasar dan kelulusan automatik wajar diberikan kepada semua peminjam terjejas akibat sekatan pergerakan penuh tanpa perlu mengambil kira mengira pendapatan, termasuk golongan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).

Penganalisis ekonomi berpendapat moratorium bersasar dengan kelulusan automatik akan memanfaatkan semua pihak berbanding moratorium secara menyeluruh atau ‘blanket’ yang mempunyai implikasi ekonomi besar, yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed mencadangkan bank supaya melihat paras pendapatan semasa, obligasi hutang atau perbelanjaan dan tinjauan aliran tunai pelanggan mereka sebagai panduan jelas untuk memastikan pelaksanaan moratorium bersasar yang berkesan.

“Bank juga boleh melaksanakan program secara dalam talian bagi pelanggan yang berdepan kesukaran untuk menguruskan perbelanjaan dalam tempoh mencabar ini,” katanya kepada BH.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam rancangan Bicara Politikonomi – ‘Lockdown dan Ekonomi Negara’ di TV1 terbitan RTM kelmarin, berkata berdasarkan maklum balas diterimanya, ramai individu M40 termasuk usahawan dan profesional semakin tertekan serta terdesak untuk mendapatkan bantuan.

Justeru, beliau menyarankan bank mencari kaedah lebih tuntas dalam memberikan pencerahan mengenai moratorium dan mungkin boleh menyediakan talian bantuan khusus atau ‘helpdesk’ bagi kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain, dapat membuat aduan.

“Ramai mengharapkan moratorium menyeluruh seperti tahun lalu. Bagi perniagaan kecil dan sederhana serta mikro, tiada masalah (untuk dapatkan moratorium), tetapi bagi M40 yang terkesan, alami kekurangan pendapatan, mereka juga boleh memohon dan bank sudah beri jaminan ia boleh diluluskan.

“Pihak bank perlu mencari kaedah lebih tuntas dalam memberikan pencerahan (mengenai moratorium),” katanya menambah, pihak bank juga mungkin boleh menyediakan ‘helpdesk’ bagi kes tertentu supaya mereka yang terkesan dan tidak ada pertimbangan lain dapat membuat aduan.

“Sudah pasti yang terbaik ialah moratorium automatik, tidak membabitkan kerenah birokrasi. Saya berharap bank akan cuba membantu golongan terkesan (yang tidak mendapat moratorium secara automatik) dan yang patut ditolong ini,” katanya.

Katanya, meskipun pemulihan ekonomi dijangka bertambah baik sejak akhir tahun lalu, dalam tempoh dua bulan kebelakangan keadaan kembali ‘parah’ kerana kebanyakan perniagaan tiada lagi simpanan tunai atau mendapat bantuan lanjut.

Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak dapat memenuhi kebanyakan permohonan usahawan, semua pihak termasuk bank diharap dapat terus berbincang dan mencari kemajuan dalam perkara itu.

“Mungkin Bank Negara Malaysia (BNM) boleh menjadi orang tengah untuk mencari jalan bagaimana dapat memberi pencerahan supaya isu dihadapi ini boleh ditangani sewajarnya,” katanya.

Mustapa berkata, dalam keadaan yang dinamik dan tidak menentu akibat COVID-19, sukar untuk menjangka situasi mengenai pemulihan ekonomi, melainkan kerajaan mempercepat proses vaksinasi COVID-19.

“Jika ada permohonan daripada syarikat swasta untuk membeli sendiri vaksin, sudah pasti kerajaan boleh cari jalan bagaimana dapat mempercepatkan vaksinasi, seterusnya ia boleh mengembalikan keyakinan pelabur dan ekonomi cepat pulih seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan MIDF Research, Imran Md Yusof, berkata langkah terbaik adalah moratorium secara bersasar kerana bantuan boleh disalurkan kepada pihak yang lebih memerlukan dan tidak kepada golongan yang mungkin mengambil kesempatan.

Beliau mengingatkan, bank sedia memberi bantuan, sekali gus peminjam yang terkesan susulan PKP boleh berunding dengan bank masing-masing.

Katanya, jika moratorium dilaksanakan secara menyeluruh atau ‘blanket’, ia akan menjejaskan pendapatan bank walaupun jika hanya kepada peminjam M40 kerana ia mungkin memberikan impak lebih mendalam terhadap ekonomi.

Imran menjelaskan, ini berikutan bank mungkin terpaksa melakukan langkah yang tidak diingini seperti menstruktur semula tenaga kerja untuk mengekalkan kadar pendapatan mereka.

“Ia juga boleh menyebabkan bank mengurangkan pinjaman yang mereka berikan atas sebab ingin memastikan paras kecairan mereka. Ini akan menjejaskan perniagaan yang mungkin memerlukan pinjaman untuk tujuan perniagaan, secara tidak langsung menjejaskan pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Bagi Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, moratorium bersasar adalah langkah sebaiknya bagi mengelakkan pembaziran.

Ini kerana, katanya, moratorium tidak bersasar akan menyebabkan seseorang yang pendapatannya tidak berubah dan masih mempunyai pekerjaan, akan melambatkan proses melangsaikan hutangnya tanpa sebab munasabah, sekali gus menggalakkan seseorang itu melengahkan pembayaran hutang.

“Tingkah laku sedemikian akan menjejaskan rekod dan mengurangkan peluang untuk berjaya bagi permohonan hutang baharu pada masa akan datang,” katanya.

Pengurus Pembangunan Perniagaan, Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga cenderung kepada moratorium bersasar yang diberikan secara automatik kepada golongan tertentu.

Beliau memberi contoh, golongan itu seperti mereka yang sebelum ini memohon lanjutan moratorium atau penstrukturan pembayaran tanpa mengambil kira sama ada dalam golongan M40, berpendapatan 40 peratus terendah (B40), peniaga mikro atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, jika moratorium secara menyeluruh atau ‘blanket’ dilaksanakan, bank masih lagi tidak akan mengalami kerugian, tetapi keuntungan tahunan akan berkurangan.

“Keadaan itu boleh menjejaskan dividen tahunan yang bakal diterima institusi pelaburan kerajaan seperti Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP,” katanya.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin pula berpandangan, moratorium secara menyeluruh atau ‘blanket’ boleh dipertimbangkan dalam situasi sekatan pergerakan penuh kerana ia sangat membantu, khususnya kepada M40.

Malah, katanya, ia juga boleh membantu segelintir golongan berpendapatan 20 tertinggi (T20) yang terkesan seperti juruterbang, peguam, arkitek dan sebagainya.

“Pemberian moratorium secara ‘blanket’ bagi saya akan membantu seluruh rangkaian ekonomi. Selain itu, kerajaan juga perlu mereformasikan sistem keselamatan sosial supaya ia lebih menyeluruh, tidak ada fragmentasi, komprehensif dan mampan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.