Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

‘Bayar hutang mama, teruskan perniagaan dodol’

[email protected]

Melaka: “Mama pesan jika sesuatu berlaku kepadanya, sila jelaskan hutangnya dan meminta saya teruskan perniagaan dodol ini,” kata Nur Aliyah Zaidi, 23, anak sulung kepada seorang pengusaha dodol yang maut dalam kemalangan, hari ini.

Rohana Abdul, 42, meninggal dunia selepas kereta Perodua Axia dipandu terbabit kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Paya Rumput di sini, pada 6.20 pagi.

Nur Aliyah berkata, ketika kejadian, ibunya dalam perjalanan menghantar pesanan dodol kepada pelanggan di Krubong.

“Biasanya, mama akan mengajak saya bersama tetapi pagi tadi, dia hanya panggil dan cakap hendak pinjam kereta sebelum saya memberikannya kunci.

“Tiada apa perubahan ditunjukkan mama, dia seperti biasa cuma ada menyampaikan pesanan itu selain mahu saya jaga adik-adik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Paya Rumput.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, pada mulanya berlaku kekeliruan apabila orang menyangka dia yang meninggal dunia disebabkan kad pengenalannya berada di dalam kereta.

Katanya, disebabkan itu sehingga petang, masih ramai pelanggan yang bertanya mengenai tempahan mereka dan tidak tahu Rohana sudah tiada.

“Mama seorang yang suka bersedekah. Kini kami sukar untuk melihat pesanan pelanggan disebabkan telefon arwah hilang dan masih belum ditemui,” katanya yang memberitahu ibunya sudah menjual dodol sejak 23 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa dari arah Paya Rumput, membuat pusingan U menghala ke Cheng.

Katanya, kenderaannya berlanggar dengan kereta Proton Persona dipandu lelaki 20 tahun dari Alor Gajah menghala ke arah sama, yang menyebabkan kedua-dua pemandu cedera.

“Pemandu wanita (Rohana) meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lelaki cedera di leher, dada dan paha kanan,” katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.