BDR: Produktiviti penjawat awam kekal pada tahap terbaik – Cuepacs

Kuala Lumpur: Produktiviti kerja penjawat awam akan terus berada pada tahap terbaik walaupun 80 peratus petugas mula bekerja dari rumah (BDR) mulai esok, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya, Adnan Mat berkata, sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan akan terus berjalan seperti biasa bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat diberikan mengikut ketetapan setiap agensi kerajaan.

Beliau berkata, setiap jabatan kerajaan tidak pernah berhenti berfungsi atau lumpuh dalam menjalankan perkhidmatan masing-masing, justeru itu rakyat tidak perlu bimbang dan urusan mereka tidak akan tergendala berikutan pelaksanaan BDR.

“Setelah lebih setahun negara melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), Cuepacs yakin penjawat awam tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing melalui amalan BDR yang telah ditambahbaik dari semasa ke semasa.

“Cuepacs berharap masyarakat tidak meletakkan persepsi buruk kepada penjawat awam kerana pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah yang secara jelas memperincikan aspek perlu dipatuhi setiap penjawat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan mengingatkan semua penjawat awam agar mematuhi arahan PKP dan peraturan semasa berkaitan BDR yang ditetapkan.

Beliau berkata, penjawat awam tidak boleh berkompromi mengenai produktiviti masing-masing semasa BDR dan sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan semasa perkhidmatan awam.

Sabtu lalu, kerajaan menetapkan 80 peratus atau kira-kira 750,000 penjawat awam dan 40 peratus petugas swasta akan melaksanakan BDR mulai esok (25 Mei), sebagai sekatan tambahan bagi PKP 3.0 berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.