Bekas juruterbang TUDM penerima anugerah keberanian kenang detik hidup dan mati

Abdul Rahim Abdul Rahman (duduk, tujuh dari kiri) bersama ahli krunya di Pangkalan Udara Kuantan pada 1974.

PETALING JAYA: Hari ini 1 Jun ialah Hari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari sangat istimewa buat Brigedier Jeneral (Bersara) Abdul Rahim Abdul Rahman yang pernah bertugas sebagai juruterbang TUDM – mencurah khidmat kepada negara selama 32 tahun dan mencatat 3,000 jam penerbangan.

Lazimnya pada hari ini beliau mengenang kembali waktu waktu cemas dan mencabar yang diharungi ketika berkhidmat. Bunyi pusingan kipas helikopter Nuri dan tembakan militan komunis masih terngiang-ngiang.

Abdul Rahim Abdul Rahman.

Rahim disanjung sebagai satu-satunya pegawai TUDM yang menerima dua anugerah keberanian – Pingat Gagah Berani (PGB) iaitu anugerah kedua tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dan Pingat Tentera Udara (PTU), pingat tertinggi TUDM.

Pertarungan yang membawa kepada anugerah PGB terjadi pada 22 Disember 1974 – hari yang tidak akan beliau lupakan sepanjang hayat.

Sebagai leftenan penerbangan berusia 26 tahun ketika itu, beliau membawa helikopter Sikorsky S-61A-4 “Nuri” dalam satu misi menyelamat iaitu membawa keluar beberapa askar yang cedera dalam pertempuran dengan gerila di hutan Baling, Kedah.

Beliau dipertanggungjawabkan dengan dua misi menyelamatkan anggota yang cedera atau dipanggil “Casevac”, singkatan “casualty evacuation” (pemindahan mangsa).

Setelah melaksanakan misi pertama, beliau meneruskan misi kedua. Ketika itu waktu sudah 5.30 petang dan keadaan sudah mula gelap. Rahim tahu beliau mesti membawa mereka yang cedera keluar secepat mungkin.

Pasukan TUDM yang memberi sokongan melalui udara kepada askar yang bertempur dengan gerila komunis dalam Ops Gonzales pada 1974.

Beliau tiba di lokasi dan Nuri yang dikemudi terpaksa berlegar 150 kaki dari tanah bagi membolehkan Kuarter Master Udara, Sarjan Arokiasamy Austine, menurunkan takal (winch) supaya askar yang cedera boleh dibawa naik ke helikopter.

“Bukan sahaja keadaan semakin gelap, angin juga kuat menyukarkan saya mengawal helikopter. Tiba-tiba sistem elektrik takal rosak memaksa Austine menurunkannya secara manual.

“Saya pernah menjadi infantri dalam Rejimen Renjer (kini Rejimen Renjer Diraja) sebelum menyertai TUDM. Saya pernah bertempur dalam hutan dan tahu bagaimana rasanya menunggu helikopter membawa bekalan atau membawa kami keluar.”

Kata Rahim, menurunkan takal secara manual memakan masa amat panjang. Meskipun begitu, beliau mahu meneruskan misi kedua. Menurut SOP masa itu Pusat Operasi Udara (AOC) menasihatkannya berpatah balik. Namun setelah beliau menjelaskan keadaan anggota yang cedera, AOC mengizinkan misi diteruskan.

“Ketika renjer yang terakhir dibawa naik tiba-tiba ada tembakan dari bawah. Ia terkena bahagian bawah helikopter. Saya terpaksa buat keputusan cepat kerana renjer itu baru separuh jalan dibawa naik ke helikopter.

“Jika saya terbang dia akan rempuh pokok dan mungkin mati. Beberapa alatan dalam kokpit juga terkena tembakan. Serpihan terkena kaki saya. Sebaik sahaja renjer itu di pintu helikopter, saya terus terbang. Bagi saya, 15 minit itu minit-minit terpanjang dalam hidup saya.”

Abdul Rahim Abdul Rahman dalam sut penerbangannya suatu ketika dahulu.

Menurut Rahim, 30 minit berikutnya perjalanan ke ibu pejabat taktikal renjer di Baling yang cemas, tegang, dan penuh emosi. Namun menyelamatkan nyawa tiga askar yang berjuang untuk negara suatu perasaan yang tidak dapat dihuraikan dengan perkataan.

“Saya bersyukur Allah melindungi kami. Rasa bangga dapat menyelamatkan nyawa dan berbakti untuk negara. Kami lakukan bukan untuk pingat. Bagi kami kegagalan bukan pilihan dalam menjalankan misi menyelamat.”

Apa yang beliau laksanakan itu menyaksikan Rahim menerima anugerah PGB.

Hanya lapan bulan sebelum itu, Rahim mengalami masalah kotak gear yang memanas ketika menjalankan misi menyelamat bagi Ops Gonzales – operasi tentera darat bertujuan untuk menghapuskan militan komunis di hutan Perak.

Masalah kotak gear panas terjadi apabila Nuri berlegar dalam jangka masa lama.

“Oleh kerana keadaan semakin gelap dan kotak gear bertambah panas, saya diarah pulang ke pangkalan berdasarkan SOP. Tetapi saya teruskan misi. Saya bawa helikopter ke tahap lebih tinggi dan berpusing selama 15 minit untuk menyejukkan kotak gear sebelum turun semula ke lokasi.

“Saya tak sanggup biarkan askar yang cedera ditinggalkan begitu sahaja. Mereka akan terpaksa tunggu 12 jam lagi sebelum pasukan penyelamat yang lain datang. Pada masa itu, entah apa sahaja boleh berlaku.”

Beliau terpaksa memasang lampu kerana keadaan gelap dan ini membuat helikopternya menjadi sasaran yang mudah dilihat musuh.

Helkopternya ditembak komunis tetapi berjaya keluar dari kawasan bahaya itu pada kira-kira 7.15 malam dan dapat menyelamatkan anggota komando yang cedera.

Sarjan Arokiasamy Augustine.

Untuk ini Rahim dianugerah PTU. Kedua-dua anugerah membawa elaun bulanan sebagai penghargaan keberanian.

“Benar saya dapat anugerah tetapi penghargaan saya ialah untuk rakan sepasukan yang membolehkan cabaran diharungi.

“Juruterbang bersama (co-pilot) dan kuarter master saya memainkan peranan amat penting. Saya tabik juga kakitangan di lapangan yang memastikan helikopter dalam keadaan baik. Mereka lah tulang belakang TUDM.”

Pegawai pemerintah Rejimen Gerak Khas Malaysia (kini Grup Gerak Khas) ketika itu, Kolonel Borhan Ahmad, yang kemudiannya menjadi Panglima Angkatan Tentera, terbabit secara langsung dalam Ops Gonzales.

Dalam buku mengenai pertempuran dengan komunis, beliau menyifatkan Rahim sebagai pegawai yang cukup berani.

“Kapten Rahim menunjukkan keberanian dan kemahiran melaksana misi menyelamat. Mengenepikan SOP, beliau membawa helikopter dalam keadaan sukar dilihat, menurunkan pegawai perubatan dan membawa naik anggota tentera yang cedera.

“Semua ini dilaksanakan ketika pertempuran sedang berlaku.

“Tindakan kru helikopter mesti dirakam dalam lipatan sejarah Angkatan Tentera Malaysia. Alhamdulillah, keberanian dan kemahiran yang ditunjukan, Rahim dberi anugerah dan tidak dikenakan tindakan kerana melanggar SOP.”

Rahim sekarang penasihat kanan kepada Industri Aeroangkasa & Pertahanan Nasional (NADI), syarikat menguruskan bekalan dan perkhidmatan penerbagan antarabangsa.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata tidak ada anaknya yang menjadi juruterbang atau menyertai angkatan tentera.
“Mungkin kerana kebimbangan menunggu kepulangan ayah mereka yang selalu berjauhan yang dilalui dulu.”

Jika berpeluang mengulangi apa yang dilalui, adakah beliau akan melakukannya? “Tentu sekali,” kata Rahim.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.