Benarkan syarikat korporat terbabit program vaksinasi

[email protected]

Kota Kinabalu: Kerajaan disaran membuka tawaran kepada syarikat korporat untuk membeli vaksin dan melaksanakan program imunisasi Covid-19 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Madius Tangau berkata, langkah itu perlu difikirkan bagi membantu kerajaan dalam usaha mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Beliau berkata, syarikat besar seperti Petronas, Shell dan syarikat lain yang mampu membiayai program itu wajar diberi peluang untuk bersama-sama kerajaan melaksanakan pemberian vaksin di seluruh negara.

“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyatakan program imunisasi boleh selesai pada November ini tetapi berdasarkan keadaan sekarang, UPKO berpendapat pertengahan tahun depan pun belum tentu selesai.

“Sebabnya semua berada di tangan kerajaan, menyebabkan kapasiti yang mampu ditampung adalah terhad. Jadi kenapa tidak kerajaan benarkan syarikat korporat, selain kerajaan negeri untuk membeli vaksin dan melaksanakan program pemvaksinan sebagai CSR.

“Maknanya program vaksinasi perlu inklusif, semua pihak terbabit,” katanya pada sidang media secara dalam talian, di sini, hari ini.

Isu vaksin adalah antara sembilan perkara yang dibawa UPKO ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menerusi persidangan video, hari ini.

Madius berkata, kerajaan juga perlu menambah jenis vaksin yang diberikan kepada rakyat negara ini berdasarkan kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada masa sama, katanya kerajaan perlu menyelesaikan kecelaruan mengenai pendaftaran program vaksinasi terutama di Sabah, berikutan ramai yang mendapat lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) jauh dari tempat tinggal termasuk ada yang diberikan lokasi di Semenanjung.

Sementara itu, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, UPKO turut bersetuju supaya kerajaan memberikan vaksin kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mencapai imuniti kelompok, terutama di Sabah.

“Ini kerana Pati juga berpotensi mencetus kluster Covid-19, malah golongan inilah yang mencetuskan Kluster Benteng di Tawau dan Lahad Datu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Oktober lalu,” katanya.

Dalam hal lain, beliau berkata UPKO turut membangkitkan keperluan untuk memastikan pelaksanaan dasar oleh pelbagai kementerian tidak bercelaru hingga membingungkan rakyat termasuk berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rakyat bingung apabila SOP sering berubah, pagi lain, petang lain hinggakan ada yang menamakan SOP sebagai ‘semua orang pening’. Perkara ini perlu diberikan perhatian supaya tidak berlarutan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.