Beregu muda garang di Austria

[email protected]

Kuala Lumpur: Penguasaan beregu muda negara dalam menakluk Terbuka Austria menjadi pemangkin semangat buat gandingan Wan Arif Wan Junaidi dan Mohd Haikal Nazri yang akan memasuki alam senior selepas ini.

Beregu yang mendapat julukan ‘Patatimo’ kerana berasal dari Terengganu dan Kelantan itu membuktikan penguasaan mereka apabila menewaskan pilihan kelima kejohanan dari Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-15.

Ia seperti hadiah hari jadi istimewa buat Wan Arif yang akan berusia 19 tahun pada 6 Jun ini.

Kata Wan Arif, banyak yang dia dan Haikal pelajari selepas tewas di suku akhir Slovenia dan kini mereka bangkit untuk memburu gelaran juara yang pertama.

“Banyak yang kami belajar ketika di Slovenia minggu lalu. Dari situ kami cuba perbaiki apa yang patut dan tingkatkan lagi kekuatan agar bulu tangkis kami tidak mudah dimatikan.

“Kejayaan ini satu permulaan yang baik untuk saya dan Haikal. Saya harap akan memperoleh lebih banyak lagi kejayaan selepas ini,” katanya.

Bagi Haikal, percaturan taktikal pada set kedua memberi kesan positif apabila mereka menang dalam pertarungan tiga set itu.

“Alhamdulillah kami berjaya meraih kejuaraan sulung. Dalam aksi final itu, kami fokus untuk kurangkan kesilapan mudah dan tak mahu memberi mata mudah kepada lawan. Pendekatan itu menjadi dan kami berjaya menguasai permainan,” katanya.

Sementara itu, beregu campuran muda negara, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei berjaya merangkul kejuaraan kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu selepas menewaskan pilihan utama kejohanan dari Perancis, William Villeger-Sharone Bauer 16-21, 21-9, 21-19.

Manakala beregu wanita negara, Anna Cheong-Yap Cheng Wen terpaksa akur dengan gelaran naib juara selepas tewas di tangan pasangan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani 11-21, 16-21.

Kejayaan dua beregu negara di Austria itu turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengucapkan tahniah kepada pasangan negara itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.