Berkumpul di majlis kenduri sambut kelahiran cucu, 5 dikompaun langgar SOP

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah, berkata mereka dikompaun mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. (Gambar PDRM)

PETALING JAYA: Gara-gara berkumpul di majlis kenduri menyambut kelahiran cucu di sebuah rumah di Kampung Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah, malam tadi, lima individu masing-masing dikompaun RM4,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah, berkata lima individu dikompaun itu terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 61 tahun.

Katanya, pasukan pemantau Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat berhubung majlis kenduri yang diadakan di rumah itu pada 9 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati lima individu terbabit sedang berkumpul di majlis kenduri itu serta tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

“Mereka kemudian dibawa ke IPD Kuala Muda untuk tindakan kompaun,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Adzli berkata, hasil siasatan mendapati individu terbabit yang menetap di sekitar daerah ini didapati mengadakan kenduri kesyukuran untuk menyambut kelahiran cucu seorang daripada mereka yang dipercayai tuan rumah.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati mereka adalah tetamu jemputan yang juga rakan tuan rumah yang diundang ke majlis itu.

“Semua mereka diterangkan kesalahan dilakukan dan dikeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 seorang kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Mereka dikompaun mengikut Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Semua individu terbabit diterangkan perlu menjelaskan kompaun yang dikenakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan di Pusat Kesihatan Daerah,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.