Berpantang maut sebelum ajal

[email protected]

Melaka: Dua nelayan menempuh detik cemas apabila perahu mereka karam dan hampir meragut nyawa dalam kejadian berhampiran Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling, Rabu lalu.

Bagi Yahaya Senin, 62, saat ketika perahu gentian kacanya tenggelam, dia dan awak-awak, Marasip Aziz, 60, sudah terbayang saat kematian sudah tiba apabila terpaksa bergayut pada jaring ikan selangat yang diibaratkannya sebagai penyambung nyawa.

Menceritakan detik cemas kejadian jam 8.30 pagi itu Yahaya, berkata dia dan awak-awak turun menangkap ikan selangat pada jam 7 pagi.

“Kami menjaring satu batu nautika dari pantai dan ketika kami menarik jaring, ribut dan hujan lebat turun, menyebabkan kami terpaksa menarik jaring ke dalam perahu tanpa menanggalkan ikan yang memenuhi jaring.

“Selepas mengikat jaring dalam dua jori (tali pengikat jaring), kami bergerak untuk naik ke pangkalan tetapi 200 meter menghampiri gigi pantai, tiba-tiba tiga lapis ombak besar memukul perahu dan menyebabkan bahagian belakang perahu dimasuki air,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Nelayan Kampung Pantai Jaring, Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, dalam keadaan angin kencang dan hujan lebat itu, dia menjerit meminta Marasip berpaut pada jaring yang timbul kerana pelampung dalam jaring menyebabkannya tidak tenggelam.

Sambil berpaut pada jaring, Yahaya dan Marasip menggerakkan kaki masing-masing seperti gerakan berenang bagi memastikan mereka bergerak ke gigi pantai.

“Sepanjang lebih 40 tahun saya menjadi nelayan, itulah kali pertama saya karam di perairan jauh dari gigi pantai kerana sebelum itu saya pernah karam di gigi pantai semasa hendak menarik perahu naik ke pangkalan,” katanya.

Dalam peristiwa dua kali karam di gigi pantai kira-kira 10 tahun lalu, hanya perahu yang tenggelam dan enjin motor sangkut rosak dimasuki air laut manakala dia terselamat kerana hanya bertarung dengan air laut pada paras dada.

“Selepas mengayuh dengan kaki kira-kira setengah jam, saya mula keletihan dan mula terasa seakan-akan kekejangan, selain sudah terbayang hari itu adalah yang terakhir saya bernafas,” katanya.

Bagaimanapun, Yahaya dan Marasip bersyukur kerana berjaya menghampiri gigi pantai dan diselamatkan lima pekerja pembersihan pantai SWM Environment Sdn Bhd (SWM) yang berlari ke arah mereka sambil menghulurkan buluh panjang.

Yahaya dan Marasip ditarik naik ke pantai dengan menggunakan buluh itu dan orang ramai turut membantu mengangkat jaring naik ke pangkalan nelayan.

“Rakan pula membantu menaikkan perahu berkenaan bersama-sama enjin motor sangkut 15 kuasa kuda yang sudah dimasuki air. Saya terpaksa membelanjakan RM200 untuk membaiki enjin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.