‘Boboi teruja naik jet ski’

[email protected]

Bachok: “Menantu baru beli jet ski sehari sebelum raya, Boboi (cucu) teruja nak menaikinya, malah sempat bergurau dia nak pandu sendiri jet ski itu ke pulau,” kata Che Jah Awang Deraman, 66.

Che Jah adalah ibu mentua kepada Mohd Zamizi Hashim, 37 yang dikhuatiri lemas bersama anaknya, Firas Naufal Mohd Zamizi, 4 selepas mencuba jet ski di sungai Pengkalan Baru, di sini, petang semalam.

Mayat Firas Naufal yang mesra dipanggil Boboi ditemukan terapung pada 9.04 pagi hari ini, kira-kira satu kilometer dari lokasi jet ski diturunkan manakala bapanya belum ditemui.

Che Jah berkata, terdahulu, dua beranak itu bersama suaminya, Yahya Awang Loh, 69, anaknya yang juga isteri mangsa, Suzila Yahya, 36 dan anak, Rania Afina, 8 serta beberapa rakan ke sungai berkenaan bagi menguji dua jet ski yang baru dibeli mangsa.

“Boboi adalah satu-satunya cucu lelaki kami, dia memang petah berkata-kata, selepas ayahnya (Zamizi) beli jet ski, memang dia teruja nak cuba.

“Malah anak saya (Suzila) sempat merakam video ketika mereka turun ke sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara, Yahya ketika menceritakan kejadian berkata, mangsa dan Boboi turun ke sungai dengan menaiki jet ski berwarna kuning, manakala yang lain menunggu di tebing sungai.

“Kami tunggu hampir 20 minit namun Miji (Zamizi) dan anaknya tidak muncul-muncul, saya cuba hubungi telefonnya namun tidak berjawab.

“Bimbang dengan keselamatan mereka, saya suruh rakan mencari dengan satu lagi jet ski dan dimaklumkan mereka menjumpai jet ski sahaja, menantu dan cucu tiada,” katanya.

Yahya berkata, mengesyaki dua beranak itu lemas, mereka kemudian menghubungi pihak bomba untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, menantunya menjalankan perniagaan gerai makan di Pantai Irama dan meminati sukan jet ski.

Menurutnya, sebelum ini menantunya pernah mempunyai dua jet ski dan membeli dua jet ski baru untuk diuji di sungai berkenaan.

“Menantu pandai berenang, dan suka aktiviti di air, saya tak sangka kejadian ini menimpa mereka, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika menyambut Aidilfitri Khamis lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 6.01 petang.

Katanya, seramai 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bachok dan empat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu ditugaskan dalam operasi SAR.

“Dalam operasi semalam, selipar dipakai mangsa ditemui berhampiran jet ski yang dijumpai rakan mangsa, jadi operasi SAR tertumpu di lokasi itu.

“Kira-kira jam 9.04 pagi tadi, mangsa pertama iaitu kanak-kanak dipercayai anak mangsa dijumpai dalam keadaan terapung,” katanya.

Beliau berkata, SAR diteruskan bagi mencari Zamizi di lokasi mayat anaknya dijumpai dengan kedalaman sungai dianggarkan 15 meter.

Berita berkaitan:

  • Ayah, anak hilang selepas naik jet ski
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.