Budak lima tahun cedera ditikam bapa tiri

[email protected]

Iskandar Puteri: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditikam di perut oleh bapa tirinya yang juga pesakit mental, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, perkara itu terbongkar selepas kanak-kanak itu memaklumkan dia ditikam ‘pakciknya’ kepada doktor yang merawatnya.

Katanya, kanak-kanak itu dihantar ibunya yang berusia 37 tahun bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di sini, selepas mendapat kecederaan di bahagian kiri perutnya pagi Sabtu lalu.

Beliau berkata, doktor di hospital berkenaan membuat laporan polis kira-kira 9 pagi hari sama selepas membuat temubual ringkas terhadap mangsa yang cedera akibat tusukan senjata tajam itu.

“Hasil temubual dengan mangsa sebelum pembedahan dijalankan, dia memberitahu dicederakan oleh ‘pakciknya’ sendiri di rumah mereka di Kangkar Pulai.

“Susulan itu polis menahan suspek berkenaan di kawasan Kangkar Pulai bagi siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal polis, suspek adalah ayah tiri mangsa yang berusia 38 tahun dan tidak bekerja serta pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

“Suspek mendapat rawatan sakit mental di Hospital Sultanah Aminah (HSA) sejak 2014 dan masih mengambil ubat yang dibekalkan pihak hospital itu, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, polis menahan reman suspek pada hari yang sama sebelum dilepaskan dengan jaminan polis Isnin lalu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek turut dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi pemeriksaan lanjut mengenai tahap mentalnya.

“Kita turut merampas sebilah pisau panjang yang berukuran lebih kurang 29.5 sentimeter di rumah berkenaan bagi siasatan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.