‘Bukan jenazah bapa, itu mayat Pok Din’

[email protected]

Kuala Terengganu: “Ini bukan jenazah bapa, sebaliknya kawannya yang ikut sama ke laut,” kata anak kepada tekong bot, Jaafar Sulong, 66, nelayan yang dilaporkan hilang bersama rakannya semalam.

Dia yang enggan namanya disiarkan berkata demikian ketika ditemui selepas hadir membuat pengecaman mayat di jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu di Pulau Kambing di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan tanda bengkak pada kepala memang dia (jenazah) itu adalah kawan yang sentiasa bersama bapa ke laut.

Katanya, ia adalah Pok Din atau nama sebenarnya Baharudin Abdullah, 47, dari Ajil, Kuala Berang.

Sementara itu, Pengarah APMM Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mayat itu ditemui nelayan tempatan selepas ternampak satu objek terapung di laut ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 1 tengah hari ini.

Menurutnya, mayat itu ditemukan pada jarak 17 batu nautika daripada Pulau Kapas, Marang sebelum dibawa ke jeti APMM oleh bot Pengawal 16 dan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses bedah siasat.

“Pihak polis sudah menghubungi ahli keluarga mangsa untuk proses pengecaman,” katanya sambil mengesahkan isteri mangsa tidak hadir, sebaliknya proses tuntutan jenazah diserahkan kepada abangnya yang tinggal di Kampung Batu Enam, Kuala Nerus.

Bot dinaiki mangsa disyaki mengalami kerosakan enjin di perairan Kuala Terengganu semalam.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata, SAR bagi mencari lagi nelayan hilang iaitu Jaafar dan Wan Mohd Sufian Wan Abdul Rahman, 34, akan lagi diteruskan esok.

Menurutnya, Wan Mohd Sufian disyaki hilang di laut selepas bot mangsa ditemui nelayan tempatan di kedudukan 10.1 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, pagi tadi.

“Antara aset diatur gerak untuk operasi mencari dan menyelamat esok adalah Kapal Maritim (KM) GEMIA, bot Pengawal 16 dan pesawat udara AW139.

“Operasi pencarian turut disertai Jabatan Perikanan dan nelayan tempatan,” katanya.

Berita berkaitan

Dua nelayan hilang ketika memancing

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.