Bukan sahaja KP, jawatan lain dalam JAKOA juga perlu diisi Orang Asli, kata Ajis Sitin

Bekas ketua pengarah JAKOA Ajis Sitin berkata, wakil Orang Asli tidak diberi peluang sekucupnya untuk mentadbir meskipun ramai yang berkelayakan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendedahan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang mendakwa wujud gerakan pegawai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melantik individu bukan berketurunan Orang Asli sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sesuatu yang mendukacitakan.

Bercakap kepada FMT, bekas ketua pengarah JAKOA, Ajis Sitin berkata, bukan sahaja isu jawatan ketua pengarah, malah dakwa beliau perjawatan bawahan lain juga berdepan nasib sama apabila wakil Orang Asli tidak diberi peluang sekucupnya untuk mentadbir meskipun ramai yang berkelayakan.

“Isu ini bukan sahaja berlaku di peringkat ketua pengarah JAKOA, malah berlaku juga di peringkat bawahan, pengarah-pengarah bahagian dan pengarah negeri, seterusnya di peringkat daerah sepatutnya diterajui secara keseluruhannya oleh masyarakat Orang Asli yang berkelayakan.

“Kecualilah kerajaan mempunyai masalah mendapatkan calon yang berkelayakan daripada Orang Asli mungkin boleh dipertimbangkan dari kalangan bangsa-bangsa lain.

“Secara matematiknya, dengan saiz perkhidmatan awam seramai 1.6 juta orang dan jumlah penduduk Orang Asli seramai 215,000 orang kini, anak-anak Orang Asli yang bekerja dalam perkhidmatan awam kini sepatutnya hampir 10,000 orang, mungkin Jabatan Perkhidmatan Awam boleh jawab,” katanya yang juga individu pertama dalam kalangan Orang Asli dilantik sebagai ketua pengarah JAKOA.

Beliau mendakwa, terdapat ramai graduan anak Orang Asli yang berkelayakan untuk mengisi jawatan kerajaan termasuk dalam JAKOA, namun tidak diberi peluang dan kini terpaksa bekerja di kampung sebagai penoreh getah dan sebagainya selepas tamat belajar.

“Namun apa yang berlaku kini ialah lambakan graduan Orang Asli di seluruh pelusuk kampung, bukan calang-calang, terdapat graduan kejuruteraan tetapi kini kerja menoreh getah, kerja kampung dan sebagainya, malah JAKOA ada semua maklumat ini.

“Lambakan graduan inilah yang diharapkan dapat diserapkan untuk berkhidmat sekurang-kurangnya dengan JAKOA bagi memajukan lagi Orang Asli kerana mereka lebih memahami denyut nadi Orang Asli berbanding orang luar,” katanya.

Tambahnya, beliau bersetuju ketua pengarah JAKOA dilantik dalam kalangan Orang Asli yang berkelayakan dan mempunyai pengalaman luas dari segi undang-undang, peraturan, pentadbiran serta pengurusan kerajaan.

“Ketua pengarah JAKOA juga seharusnya unik, di samping pendedahan yang secukupnya sebagai pegawai kerajaan, mereka juga seharusnya mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan aspirasi Orang Asli.

“Perlu diingat Orang Asli mempunyai 18 suku kaum yang sangat unik dan JAKOA bukan sekadar mentadbir tetapi juga harus mendidik Orang Asli dari semua bidang,” katanya.

Tambahnya, Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) boleh menjadi penasihat kepada kerajaan dalam memilih ketua pengarah JAKOA bagi memastikan perlantikan itu memenuhi aspirasi Orang Asli.

Ajis berkata, sepanjang beliau menerajui JAKOA pelbagai pelan telah disusun beserta pendekatan baharu untuk memajukan Orang Asli, namun terbantut apabila kontraknya sebagai ketua pengarah ditamatkan lebih awal pada 2019 sebelum diganti dengan Juli Edo.

“Sehubungan dengan itu saya mohon pihak kerajaan berlapang dada menerima cadangan-cadangan yang pernah dibuat (saya) sebelum ini demi untuk melihat Orang Asli ditadbir urus dengan baik dan terbela di mata dunia.

“Elakkan kritikan luar yang menggunakan pengurusan JAKOA yang gagal menyebabkan Orang Asli tertinggal daripada persaingan arus perdana,” katanya.

Sebelum ini, Ramli mendakwa terdapat gerakan oleh pegawai KPLB melantik individu bukan berketurunan Orang Asli sebagai ketua pengarah JAKOA yang baharu selepas penyandangnya, Juli Edo menamatkan kontrak pada April lalu.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.