Bukan tak cukup, tapi…

[email protected]

Tumpat: Kehadiran penduduk dari dua kampung berhampiran untuk turut sama menjalani ujian calitan menyebabkan bekalan gelang merah jambu yang disediakan untuk 990 penduduk Kampung Kutan Tengah di sini, tidak mencukupi.

Isu itu menimbulkan salah faham dalam kalangan orang ramai khususnya penduduk dari kampung itu sendiri yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam dengan mendakwa pihak kesihatan tidak menyediakan alat itu secukupnya sekaligus menimbulkan kemarahan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya hanya menyediakan kira-kira 1,000 utas gelang merah jambu sahaja di Sekolah Menengah Kebangsaan Kutan yang dijadikan pusat ujian calitan bermula kelmarin hingga semalam memandangkan bilangan penduduk adalah berjumlah 990.

“Bagaimanapun yang datang bukan sahaja daripada Kampung Kutan Tengah yang dikenakan PKPD tapi juga dua kampung berhampiran iaitu Kampung Kutan Hilir dan Kutan Hulu.

“Sehingga hari ini seramai 1,198 individu hadir membuat ujian calitan yang mana 208 daripadanya adalah dari dua kampung yang tidak terbabit dengan PKPD.

“Memang kami mempunyai senarai nama penduduk yang dalam lokaliti PKPD tapi apabila mereka datang beramai-ramai, kami tetap jalankan ujian calitan yang menyebabkan gelang merah jambu tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Zaini berkata, bagaimanapun masalah itu segera diselesaikan dengan menambahkan gelang berkenaan namun ada pihak yang membuat hantaran dalam laman sosial mendakwa pihaknya tidak serius dalam menjalankan proses ujian calitan disebabkan perkara itu.

Dalam hantaran yang dipercayai dibuat oleh seorang penduduk daripada lokaliti Kampung Kutan Tengah yang turut membuat tanda pagar Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah itu mendakwa pihak kesihatan tidak menyediakan kit ujian calitan serta gelang merah jambu yang mencukupi malah menuduh tidak serius dalam menangani PKPD di kawasan itu.

Dr Zaini berkata setakat semalam, seramai 20 individu dikesan positif Covid-19 termasuk dari luar lokaliti PKPD Kampung Kutan Tengah, Mukim Wakaf Bharu.

Dalam perkembangan sama, untuk PKPD Kampung Ketil, Mukim Pengkalan Kubor pula, daripada 1,357 penduduk, seramai 792 sudah menjalani ujian calitan yang mana seorang dikesan positif.

Dr Zaini berkata, ujian calitan diteruskan lagi hari ini memandangkan masih ramai penduduk dari lokaliti itu masih belum disaring.

“Kita juga mendapatkan bantuan daripada pemimpin setempat dan agensi berkaitan untuk kelancaran proses ujian calitan membabitkan hampir separuh lagi penduduk di lokaliti Kampung Ketil,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.