Bumi Armada kembali raih untung

KUALA LUMPUR: Bumi Armada Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM162.79 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 berbanding kerugian bersih RM223.97 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan meningkat kepada RM562.70 juta berbanding RM552.62 juta sebelumnya, kata penyedia kemudahan dan perkhidmatan tenaga luar pesisir itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

“Peningkatan prestasi itu disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen pengeluaran dan operasi terapung (FPO).

“Segmen ini meningkat kepada RM355.7 juta untuk suku pertama 2021 berbanding RM354.4 juta pada suku pertama 2020, kebanyakannya disebabkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Armada Kraken, ia diimbangi oleh kos operasi lebih tinggi daripada Armada Olombendo FPSO,” kata Bumi Armada.

Syarikat itu berkata, hasil segmen perkhidmatan marin luar persisir bertambah kepada RM12.5 juta pada suku dikaji berbanding RM6.9 juta pada tahun sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh kerugian pertukaran asing yang lebih rendah daripada deposit tetap dan baki antara syarikat dalam denominasi mata wang asing, ia diimbangi oleh penggunaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) yang lebih rendah pada suku dikaji,” katanya.

Bumi Armada berkata, kumpulan itu mempunyai aliran tunai bersih lebih tinggi yang dihasilkan daripada aktiviti operasi pada suku pertama 2021 berbanding suku tahun lalu, kebanyakannya susulan daripada aliran masuk tunai lebih tinggi menerusi operasi dan faedah lebih rendah yang dibayar daripada pembayaran balik pinjaman bank.

Pada suku itu, 11 OSV dijual seiring dengan inisiatif pengewangan aset kumpulan berkenaan dengan segmen OMS, katanya.

“Nilai kontrak pada masa depan pada akhir suku pertama 2021 berjumlah RM15.8 bilion dengan tambahan pilihan tambahan sehingga RM9.9 bilion,” kata Bumi Armada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Christenson, berkata walaupun terdapat rintangan operasi dan logistik disebabkan pandemik COVID-19, Bumi Armada mengekalkan prestasi kesihatan, keselamatan dan persekitaran yang sangat baik pada suku pertama 2021 dengan bebas masa kecederaan.

“Tumpuan kami kepada kecemerlangan operasi dan kecekapan kos menyokong prestasi kewangan yang kukuh dalam tempoh yang sama.

“Kami akan terus fokus pada keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan disiplin kewangan,” katanya.

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.