Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.

Bursa Malaysia susut hari ketiga berturut-turut

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut pada akhir dagangan Rabu, diheret turun oleh tekanan jualan membabitkan kaunter saham wajaran tinggi.

Pada jam 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 12.58 mata kepada 1,575.67 daripada paras 1,588.25 pada akhir dagangan Selasa.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras itu menokok 3.73 mata kepada 1,591.98 dan berlegar dalam lingkungan 1,575.38 hingga 1,592.18 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 811 berbanding 299 manakala 416 kaunter kekal tidak berubah, 628 tidak diniagakan dan lima lagi digantung dagangannya.

Jumlah dagangan merosot kepada 7.37 bilion saham bernilai RM4.24 bilion daripada 7.48 bilion saham bernilai RM4.13 bilion pada Selasa.

Seorang peniaga berkata, pasaran Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur hari ini dengan sentimen terus dijejaskan oleh penularan ketara kes COVID-19.

Indeks Straits Times Singapura susut 0.80 peratus kepada 3,153.61; Indeks Kospi Korea Selatan naik 0.64 peratus kepada 3,147.37 manakala Hang Seng Hong Kong jatuh 0.49 peratus kepada 28,417.98.

Di peringkat tempatan, beliau berkata Bursa Malaysia memulakan dagangan dalam wilayah positif namun beralih ke negatif pada dagangan tengah hari dan seterusnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata saham berkaitan perbankan susut apabila sentimen menyeluruh pelabur kekal berhati-hati menjelang pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia pada esok (Khamis).

Menurutnya, pada mesyuarat itu, BNM dijangka terus mengekalkan kadar semasa OPR pada 1.75 peratus.

“Alasan utama adalah ketidaktentuan membabitkan pemulihan ekonomi yang dijangka tidak sekata.

“Permintaan luar dilihat mendapat tarikan positif pada suku pertama 2021 dengan eksport nominal berkembang melebihi 18 peratus yang menyaksikan pertumbuhan eksport bersih lebih 56 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan sebaliknya bagi industri berorientasikan perkhidmatan yang mana pematuhan ketat prosedur operasi standard berkemungkinan memberi kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi.

“Sehubungan itu, bank pusat dijangka mengekalkan pendirian pada mesyuarat esok berikutan perkembangan baharu yang hanya menjurus kepada kadar pemulihan ekonomi yang tidak setara,” katanya.

Saham berkaitan bank menyaksikan Maybank susut tiga sen kepada RM8.21; Public Bank rugi satu sen kepada RM4.11; CIMB turun lima sen kepada RM4.06; HLBank susut 12 sen kepada RM17.66 manakala RHB menguncup lapan sen kepada RM5.15 dan HLFG berkurangan 14 sen kepada RM16.48.

Bagi saham wajaran tinggi, PetChem merosot dua sen kepada RM8.16, TNB turun tujuh sen kepada RM9.90, IHH menguncup enam sen kepada RM5.20 dan Top Glove rugi 13 sen kepada RM5.32.

Saham aktif menyaksikan Focus Dynamics susut setengah sen kepada 10 sen, Sedania meraih tujuh sen kepada 30.5 sen dan Dagang Nexchange naik 1.5 sen kepada 69.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 96.34 mata kepada 11,604.84; Indeks Syariah FBM Emas turun 128.43 mata kepada 13,005.89; Indeks FBMT 100 jatuh 92.16 mata kepada 11,256.40; FBM 70 menguncup 133.97 mata kepada 15,281.61 dan FBM ACE berkurangan 157.46 mata kepada 8,469.94.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.94 mata kepada 198.29; Indeks Perladangan berkurangan 75.16 mata kepada 6,916.85 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 83.06 mata kepada 14,756.16.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan merosot kepada 4.53 bilion saham bernilai RM3.39 bilion berbanding 4.63 bilion saham bernilai RM3.23 bilion pada Selasa.

Jumlah waran meningkat kepada 350.10 juta unit bernilai RM35.01 juta daripada 311.09 juta unit bernilai RM37.8 juta, sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 2.49 bilion saham bernilai RM812.4 juta daripada 2.54 bilion saham bernilai RM858.9 juta yang dicatatkan semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 389.12 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (1.67 bilion); pembinaan (110.24 juta); teknologi (727.89 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (42.62 juta); hartanah (369.94 juta); perladangan (136.35 juta), REIT (3.26 juta); dana ditutup (11,000); tenaga (688.18 juta); penjagaan kesihatan (73.35 juta); telekomunikasi dan media (91.92 juta), pengangkutan dan logistik (204.84 juta) serta utiliti (19.18 juta).

-BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.