COVID-19: Kanak-kanak berdepan ‘malapetaka generasi’ – Kajian

THE HAGUE: Satu kajian mendapati pandemik COVID-19 yang kini mengundang bahaya kepada kanak-kanak di seluruh dunia, bakal mengakibatkan risiko ‘malapetaka generasi’ sekiranya kerajaan sesebuah negara tidak bertindak segera.

Badan bukan kerajaan (NGO) Belanda, KidsRights mendedahkan, jutaan kanak-kanak kini ketinggalan dalam pendidikan disebabkan halangan COVID-19, malah turut berdepan kesan jangka panjang terhadap fizikal dan kesihatan mental.

Menurut kajian, Iceland, Switzerland dan Finland berada di tahap tertinggi dalam hak asasi kanak-kanak, manakala Chad, Afghanistan dan Sierra Leone pula terburuk dalam keseluruhan 182 negara.

Pengasas dan pengerusi KidsRights, Marc Dulleart, berkata kesan pandemik terhadap kanak-kanak lebih buruk berbanding jangkaan tahun lalu.

“Selain pesakit COVID-19, kanak-kanak juga menerima padah, bukan sekadar kesan wabak itu tetapi kegagalan dasar akibat langkah penangguhan dilaksanakan pemimpin seluruh dunia.

“Pemulihan pendidikan adalah kunci untuk menghalang malapetaka generasi ini,” kata Dullert.

Menurut NGO itu, sekolah yang menempatkan lebih 168 juta kanak-kanak ditutup hampir setahun dengan satu daripada tiga kanak-kanak tidak mampu mencapai pembelajaran secara mudah alih ketika ia ditutup.

Seramai 142 juta kanak-kanak juga kini menjadi mangsa kemiskinan disebabkan ekonomi global yang terkesan teruk akibat pandemik, manakala 370 juta kanak-kanak gagal mendapatkan makanan di sekolah.

KidsRights menghargai pemain bola Manchester United dan England, Marcus Rashford atas usaha kempen untuk melanjutkan skim makanan percuma di sekolah.

Mereka juga menghargai usaha Bangladesh yang mengambil alih stesen televisyen negara itu untuk mengadakan program persekolahan di rumah, serta memuji Belgium dan Sweden yang cuba membuka sekolah.

Laporan itu turut menyebut mengenai 80 juta kanak-kanak di bawah umur setahun mungkin terpaksa ketinggalan rutin vaksin bagi penyakit lain disebabkan sistem kesihatan yang terganggu.

Laporan juga menyebut, berlaku peningkatan jenayah keganasan rumah tangga ketika sekatan pergerakann dengan kanak-kanak menjadi mangsa.

Buat pertama kalinya, KidRights turut memasukkan Palestin dengan meletakkan negara itu di kedudukan 104. Palestin ketika ini berdepan masalah penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun seperti tahun sebelum ini KidRights menyenaraikan Britain, Australia dan New Zealand pada kedudukan bawah berikutan kurangnya perlindungan undang-undang untuk kanak-kanak berbanding kekayaan dan kemajuan negara itu. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.