COVID-19: Malaysia catat TPR 6.4 peratus lebih daripada ditetapkan WHO

[email protected]

KUALA LUMPUR: Sistem kesihatan awam dikhuatiri mungkin tidak lagi berupaya menampung bilangan kes yang meningkat mendadak, selain Malaysia juga sudah melebihi nisbah positif ujian (TPR) yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pakar Epidemiologi Universiti Malaya, Prof Noran Naqiah Hairi, berkata negara ini pada 20 Mei lalu melaporkan nilai TPR sebanyak 6.4 peratus.

Jumlah itu, katanya, melebihi daripada kriteria ditetapkan oleh WHO pada Mei tahun lalu, iaitu TPR seharusnya kurang daripada daripada lima peratus.

“Kriteria di bawah lima peratus adalah petunjuk jangkitan COVID-19 terkawal di sesuatu lokaliti.

“Pada masa sama, kadar kebolehjangkitan (Rt) Malaysia pada masa kini juga menunjukkan nilai yang agak tinggi iaitu 1.20,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Noran berkata, nilai Rt itu menandakan peningkatan dalam jumlah kes baharu sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan bilangan itu dijangka akan terus meningkat selagi nilai Rt masih melebihi satu.

Katanya, secara keseluruhan sistem penjagaan kesihatan negara ini masih boleh menangani kes COVID-19 berikutan kadar kematian agak rendah itu 0.44 peratus.

“Bagaimanapun, ia tidak diketahui dengan peningkatan kes yang begitu mendadak ketika ini dan akan mempengaruhi perkhidmatan kesihatan negara.

“Paling membimbangkan, jika sistem kesihatan mungkin tidak dapat menampung bilangan kes yang naik secara mendadak ini,” katanya.

Ditanya mengenai punca kenaikan kes secara mendadak, beliau menjelaskan ia adalah kerana sebilangan besar populasi di negara ini masih rentan atau ‘susceptible’.

“Ini disebabkan masih ramai belum divaksinasi menjadikan setiap orang itu mudah dijangkiti penyakit COVID-19.

“Selain itu, penyebaran virus di dalam komuniti sudah menjadi sangat meluas,” katanya menambah keadaan itu mengakibatkan jangkitan COVID-19 sukar dihentikan, dihalang atau dikendalikan buat masa ini, sekali gus memberi kesan kepada perkhidmatan kesihatan awam.

Beliau berkata, dengan bilangan kes semakin tinggi, kakitangan kesihatan awam tidak lagi mencukup untuk aktiviti pengesanan kontak yang benar-benar berkesan.

“Penyebaran secara sporadik dan terlalu banyak dalam tempoh yang singkat amat merumitkan keadaan berikutan populasi Malaysia dalam tempoh kebelakangan ini juga terlalu ‘mobile’.

“Sebagai penyelesaiannya, semua individu perlu dipastikan menerima vaksin secepat mungkin. Pengambilan vaksin tidak hanya bermanfaat melindungi diri, tetapi juga dapat membantu individu lain yang tidak mampu mengambilnya dan langkah lain adalah dengan memutuskan rantaian COVID-19 dengan apa cara sekali pun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.