COVID-19 merebak di penjara Thailand

BANGKOK: Jangkitan COVID-19 kini menular dengan cepat di penjara Thailand apabila banduan ditempatkan dalam sel tahanan yang sempit.

Lebih 22,000 orang di penjara disahkan positif sehingga memaksa semua tahanan memakai pelitup muka walaupun ketika tidur.

Pihak berkuasa kini bercadang membebaskan banduan ketika penularan jangkitan semakin membimbangkan selain kerajaan didesak menambah ujian saringan dan rawatan perubatan di penjara.

Pihak penjara kini menyatakan jangkitan di dalam pusat tahanan semakin serius dan membimbangkan.

“Tahanan tidak tahu bagaimana melindungi diri,” kata seorang aktivis berprofil tinggi, Somyot Prueksakasemsuk yang menjalani hukuman di bawah undang-undang fitnah di negara itu.

Somyot diikat jamin bulan lalu dan memberitahu AFP bahawa beliau tidak menjalani sebarang ujian saringan COVID-19 ketika ditahan selama 10 minggu di penjara.

Beliau mengakui tidak bimbang dijangkiti penyakit itu ketika berada di penjara kerana tidak mengetahui risiko jangkitan.

“Tetapi kini saya sangat bimbang (bagi semua banduan yang masih dalam tahanan )… jika anda berada di dalam penjara pastinya berisiko, itu tidak dapat dielakkan,” katanya.

Wabak COVID-19 di penjara Thailand melonjak daripada hanya 10 kes sebulan yang lalu dan keadaan itu mencetuskan kebimbangan masyarakat selepas beberapa aktivis terkemuka yang dipenjara kini dijangkiti penyakit itu.

Antara aktivis yang dijangkiti wabak itu ialah pemimpin mahasiswa, Panusaya “Rung” Sithijirawattanakul, yang terbabit dalam demonstrasi menuntut reformasi politik tahun lalu yang dilaporkan positif selepas dibebaskan dengan ikat jamin.

Persekutuan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia menyatakan jumlah banduan di penjara Thailand sekitar 311,000 pada awal tahun ini, lebih dua setengah kali ganda daripada kapasiti rasmi ditetapkan.

Empat daripada lima banduan ditahan kerana tuduhan dadah berikutan pelaksanaan undang-undang antinarkotik yang keras di negara itu yang menetapkan pesalah dipenjara selama satu dekad kerana hanya memiliki beberapa pil methamphetamine.

Kebanyakan sel tahanan sesak dengan banduan hanya mempunyai ruang seluas setengah meter.

“Keadaan itu lebih kecil berbanding ruang dalam peti mayat,” kata Menteri Kehakiman, Somsak Thepsutin kepada media tempatan Februari lalu.

Seramai 36,000 tahanan sudah menjalani ujian saringan COVID-19 dalam beberapa minggu kebelakangan ini, malah ada banduan dan kakitangan penjara sudah menerima vaksin.

Somsak menyatakan beliau sedang meneliti kemungkinan memberikan pembebasan awal dengan kes yang semakin meningkat di penjara melalui pertimbangan pengampunan kerajaan.

Difahamkan banduan yang dibebaskan perlu menjalani kuarantin sebelum dibenarkan pulang.

“Bagi kami sesiapa atau apa saja tindakan adalah untuk menyelamatkan dan perlu dilakukan dengan betul.

“Kami tidak boleh membiarkan mereka menyebarkan jangkitan,” katanya.

Kumpulan hak asasi mahu apa saja usaha perlu mengambil kira kesan jangka panjang dan mendesak pihak berkuasa membebaskan pesalah yang tidak berbahaya untuk mengurangkan kesesakan di penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.