KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan dakwaan 200 penduduk di Kampung Pauh Lima, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lari meninggalkan kawasan itu adalah tidak benar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata siasatan awal mendapati berita mengenai perkara itu tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam.
“Hasil siasatan, dakwaan mengatakan penduduk meninggalkan kawasan terbabit bagi mengelak daripada menjalani ujian swab COVID-19 adalah palsu.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau diragui kesahihannya. Individu yang menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shafien turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita tanpa merujuk kesahihannya daripada pihak bertanggungjawab.
Media sebelum ini melaporkan, PKPD dilaksanakan di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, kelmarin sehingga 1 Jun membabitkan 1,032 penduduk.
Susulan pelaksanaan PKPD, sebanyak 10 sekatan jalan raya dilakukan masing-masing enam di Bachok dan empat di Kota Bharu.
Pada masa sama, 12 laluan tikus turut ditutup bagi menyekat pergerakan penduduk di kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian