Cuepacs gesa segera isi kekosongan jawatan Naib Canselor 5 universiti awam

[email protected]

Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi segera membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Canselor di lima universiti awam.

Universiti berkenaan adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setiausaha Agung Cuepacs Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit boleh menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus menjejaskan hala tuju universiti bagi melaksanakan visi dan misi masing-masing.

Katanya, kelompangan pada barisan pengurusan kanan juga boleh menyebabkan potensi sepenuhnya institusi pengajian tinggi itu tidak dapat diterokai sepenuhnya terutama ketika negara sedang mengalami pandemik Covid-19.

“Kuasa untuk melantik Naib Canselor adalah daripada Menteri dan menteri juga mempunyai kuasa untuk menamatkan pelantikan Naib Canselor pada bila-bila masa.

“Kebiasaannya apabila jawatan Naib Canselor itu dikosongkan, Timbalan Naib Canselor yang dinamakan oleh Menteri akan menjalankan tugas sebagai Naib Canselor untuk beberapa tempoh tertentu.

“Bagaimanapun Cuepacs berpandangan kekosongan yang terlalu lama bagi jawatan nombor satu itu dengan hanya dipangku oleh Timbalan Naib Canselor boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rahman berkata, walaupun Timbalan Naib Canselor menjalankan tugas Naib Canselor itu individu berpengalaman, sudah tentu terdapat beberapa kekangan menghalang beliau daripada menjalankan tugas dengan sepenuhnya.

Menurutnya, hal kebajikan kakitangan terutama kumpulan sokongan juga tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana ketiadaan Naib Canselor yang sentiasa menjadi rujukan permasalahan kakitangan.

“Justeru itu, Cuepacs melihat keperluan untuk melantik segera Naib Canselor yang baharu bagi membolehkan pentadbiran universiti berjalan seperti biasa dan mampu melaksanakan visi dan misi masing-masing.

“Kami berharap menteri dapat mempertimbangkan perkara ini dengan segera. Dalam situasi pandemik ketika ini, sewajarnya semua jabatan dan agensi kerajaan dimantapkan agar boleh menjadi pemangkin kepada permasalahan yang melanda ketika ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.