Dadah bernilai RM500,000 dirampas

[email protected]

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lapan individu dan merampas dadah bernilai hampir RM500,000 dalam serbuan di dua kondominium di Taman Miharja, di sini, dan Seri Kembangan, Selangor, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, serbuan serentak menerusi operasi khas itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JSJN Kuala Lumpur pada jam 1.49 tengah hari.

“Serbuan pertama di kondominium Taman Miharja berjaya menahan empat lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia 23 hingga 32 tahun.

“Serbuan di sebuah lagi kondominium berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku menyewa rumah itu dengan bayaran RM1,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, hasil kedua-dua serbuan berkenaan, polis merampas serbuk dadah disyaki MDMA anggaran berat 7.44 kilogram (kg), cecair MDMA seberat 12.15 liter, 450 biji pil ekstasi dan ganja seberat 15.14 gram.

Beliau berkata, turut dirampas dua kenderaan jenis Volkswagen Passat dan Perodua Axia serta wang tunai berjumlah RM4,481.

“Siasatan awal mendapati sindiket itu mula aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lalu,” katanya.

Katanya, semua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin sehingga 7 Jun ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.