Daki bukit di ibu kota

[email protected]

“MENARIKNYA sepanjang saya mendaki ke Bukit Ampang atau Bukit Kembara ini, tidak ada nyamuk langsung!” jelas rakan penulis yang sudah lama rasa ‘terkurung’ tidak dapat mendaki kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tuntutan kerja.

Namun, pengalamannya kali pertama ke destinasi di dalam Kuala Lumpur itu ternyata menghidangkan panorama menarik terutama terdapat tasik di dalamnya.

Menurut Hazel Desmond, lokasi Bukit Ampang itu hanya terletak di Taman Tun Abdul Razak memudahkan warga kota untuk beriadah terutama untuk mendaki bukit yang begitu sinonim dengan keindahan alam semula jadi.

Katanya, dia mengunjungi destinasi itu pada hujung minggu dan agak terkejut kerana tidak ramai pengunjung ke sana (sebelum PKP).

“Untuk mendaki ke Bukit Ampang saya mengambil masa sekitar tiga jam untuk naik dan turun. Ia amat sesuai untuk menguji stamina.

“Bagi saya dari segi kesukaran pendakian boleh dikatakan sederhana tetapi agak mencabar kerana terdapat sekitar empat bukit yang perlu didaki pengunjung untuk tiba ke puncak,” katanya.

Hazel berkata, ketika memulakan pendakian sahaja dia dihidangkan dengan laluan yang agak mencanak dan terdapat kemudahan tali disediakan kepada pendaki.

Jelasnya, kemudahan tali itu dilihat amat berguna terutama jika keadaan hujan memandangkan laluan mendaki pada awalnya agak menguji stamina.

“Sekitar 20 minit mendaki dan melayan cabaran laluan denai serta ditemani keindahan hutan hijau di dalam kota ini, kami menemui tasik yang begitu sinonim di dalamnya.

“Di sini juga menjadi lokasi ramai pengunjung untuk mengambil gambar kerana terdapat pondok di hujung pelantarnya,” katanya.

Hazel berkata, dia meneruskan pendakian ke puncak Bukit Ampang setinggi 270 meter dari aras laut dan di sana diselubungi dengan pokok.

“Di puncak tidak dapat melihat pemandangan kerana terdapat banyak pokok yang melindunginya tetapi bagi saya untuk berlatih menguji stamina ia adalah lokasi yang begitu dekat dengan pusat bandar.

“Ini kerana jika dari Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), kami hanya perlu memandu sekitar 18 minit sahaja untuk tiba di laluan masuk pendakian,” katanya.

Tambahnya, laluan pendakian juga agak luas dan tidak mengelirukan memberi kemudahan kepada pengunjung kali pertama untuk menerokai bukit dalam taman itu.

“Bagi saya untuk warga Kuala Lumpur yang mungkin ingin mencari lokasi mendaki di dalam bandar, Bukit Ampang boleh dijadikan pilihan kerana dekat dan ia juga mempunyai cabaran tersendiri.

“Malah, pemandangan ketika mendaki juga agak menarik. Apatah lagi, terdapat tasik tersembunyi di dalamnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.