Daripada ‘kerepok lekor’ bertukar sayang

[email protected]

KUALA LUMPUR: Daripada nama ‘keropok lekor’ berubah menjadi sayang.

Demikian nama isterinya, Nur Atiqah Hanani ditulis dalam ‘phonebook’ oleh pelakon, Aidit Noh pada awal perkenalan sebelum bercinta, enam bulan kemudian.

“Secara kebetulan, Kuala Terengganu terkenal dengan keropok lekor. Itu antara sebab saya menyimpan nombor isteri dengan nama makanan kesukaan ramai itu.

“Namun, saya tukar nama sayang selepas kami serius bercinta. Kini, Hanani menjadi milik saya,” kata Aidit bercerita detik perkenalan dengan isterinya.

Terdahulu, pelakon filem Seandainya Kau Ada itu sah bergelar suami kepada Hanani menerusi majlis akad nikah dalam talian pada 29 Mei lalu.

Ketika majlis nikah berlangsung, Aidit berada di Kuala Lumpur, manakala Hanani di Kuala Terengganu.

Aidit berkata, mengikut perancangan awal, mereka mahu disatukan sebagai suami isteri pada 5 Jun lalu.

“Namun, disebabkan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan sehingga 14 Jun ini, kami terpaksa mempercepatkan majlis nikah kepada 29 Mei lalu.

“Sehari selepas bernikah, saya bergerak ke Kuala Terengganu atas tiket pasangan jarak jauh untuk mengambil isteri pulang semula ke Kuala Lumpur.

“Mujurlah, sehari sebelum sekatan pergerakan penuh kami sampai ke ibu kota,” katanya.

Aidit berkata, cinta yang berlaku antaranya dan isteri boleh dikatakan sepantas kilat.

“Mulanya, kami hanya berkawan. Sebelum kahwin berjumpa pun dalam lima hingga enam kali sahaja. Maklumlah, cinta jarak jauh. Saya di Kuala Lumpur, isteri di Kuala Terengganu.

“Apa yang boleh dikatakan, kami hanya betul-betul bercinta selepas kahwin. Mujur juga selepas berkahwin isteri sudah mula bekerja di sebuah syarikat logistik di Kuala Lumpur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.