Dedah perincian projek RM1.5 bilion di Cameron Highlands, kata ADUN

PETALING JAYA: Kerajaan Pahang perlu mendedahkan perincian mengenai projek bernilai RM1.5 bilion di Cameron Highlands, termasuk proses tender yang berkaitan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong.

Beliau berkata, perincian mengenai perjanjian usaha sama antara Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Casa Inspirasi Sdn Bhd tidak boleh didapati secara terbuka, termasuk maklumat mengenai proses tender awam.

Projek pembangunan bercampur itu meliputi kawasan seluas 20.77ha dan dijangka membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion, dengan jangkaan selesai dibina dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

“Berdasarkan maklumat (syarikat induk) LBS Bina kepada Bursa Malaysia, Casa Inspirasi mengambil bahagian dalam tender oleh MDCH dan dipilih untuk mendapatkan tanah yang disebutkan di atas,” kata beliau dalam kenyataan.

Katanya, bagaimanapun tiada makluman daripada kerajaan negeri mahu pun majlis daerah yang memberitahu masyarakat tentang proses penilaian dan pemilihan tender yang berjaya secara terbuka dan telus.

Chiong berkata, masyarakat tidak memiliki cara untuk mengetahui bagaimana cadangan Casa Inspirasi dibandingkan dengan permohonan daripada pihak lain, di mana pemaju juga sepatutnya turut terlibat, dan langkah-langkah mampan yang akan dilaksanakan.

“Cameron Highlands diakui sebagai kawasan alam sekitar yang sensitif di negara ini, di mana tanah runtuh dan banjir kilat sering berlaku,” kata beliau.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus lebih terbuka dan telus dalam soal mengurus pembangunan dan mendengar serta mengumpul pendapat yang diberikan pelbagai pihak bagi menjamin pembangunan yang mampan di Cameron Highlands.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.