Demi akok Kak Na, sanggup tunggu tepi kawat duri

[email protected]

Jertih: Keenakan akok Kak Na menyebabkan peminat kuih tradisional itu yang tinggal di sempadan Terengganu-Kelantan sanggup berdiri di tepi kawat duri dan ‘water barricade’ (halangan air) demi menunggu tempahan disiapkan.

Pembuat akok Rohani Yusof atau lebih mesra dikenali Kak Na, 54, berkata kedainya terletak di sempadan negeri menghubungkan Besut, Terengganu dengan Pasir Putih, Kelantan.

“Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan, simpang jalan di hadapan kedainya antara laluan tikus yang ditutup untuk menghalang pergerakan merentas negeri tanpa kebenaran.

“Nasib baik pelanggan saya masih boleh membeli akok untuk dibuat juadah berbuka puasa, tetapi segala urus niaga hanya di tempat sekatan itu sahaja tanpa pembeli dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Jika ada orang yang tinggal di sempadan negeri nak beli akok, saya akan hantar akok untuk rentas negeri dengan menyerahkan kepada mereka di sebelah sana melalui kawad duri serta halangan jalan itu,” katanya.

Kak Na berkata demikian ketika ditemui di kedainya di Kampung Kayu Kelat 4 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakan pembeli akok yang menggunakan resipi istimewa keluarganya terdiri daripada pelanggan setempat yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Apabila kerajaan menutup laluan ini untuk mengelakkan rentas negeri secara haram serta membendung penularan Covid-19, saya terpaksa terima.

“Pelanggan pun faham dan ada yang ambil peluang untuk merakam gambar ketika kami melakukan urus niaga jual beli di tempat sekatan dan kawad duri itu sebagai kenangan,” katanya.

Menurutnya, disebabkan pelaksanaan PKP di Kelantan dan Besut, di sini, perniagaannya sedikit terjejas apabila tempahan berkurangan berbanding hari biasa.

Katanya, selain akok dia turut membuat kuih nganang dan pulut lepa bakar berinti sambal ikan.

Salah seorang anaknya yang juga seorang guru, Nurul Fatihah Ilias, 23, berkata dia kerap membantu ibunya pada sebelah petang selepas pulang dari sekolah.

“Ada pelanggan tetap sanggup datang ke sini setiap hari untuk membeli akok kerana mahukan akok yang segar dan masih panas ketika makan berbuka puasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.