MANCHESTER: Bintang Manchester City, Ruben Dias melakar sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila muncul pertahanan pertama sejak 1989 memenangi Anugerah Pemain Terbaik Penulis Bolasepak (FWA).
Pemain berusia 23 tahun itu merekodkan prestasi cemerlang untuk membantu Citizens merampas kembali gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) daripada Liverpool.
Dia juga meledak gol kemenangan di Wembley untuk membantu City merangkul Piala Liga dan kini bersedia untuk aksi final Liga Juara-Juara menentang Chelsea, minggu depan.
Dias bersaing sengit dengan rakan sepasukannya, Kevin de Bruyne, namun berjaya mengetepikan pemain Belgium itu dan Harry Kane untuk menyambar anugerah itu.
Itu sudah cukup untuk dia menjadi pertahanan pertama memenangi anugerah itu sejak Steve Nicol pada 1989.
Sebagai rekod, sembilan pemain City meraih undian yang merangkumi 50 peratus daripada undian keseluruhan.
Selepas menerima anugerah terbabit, Dias menciap ‘terima kasih kepada FWA yang mengundi saya untuk anugerah ini! Ini adalah penghormatan yang terbesar untuk diiktiraf pada musim pertama saya di sini.’
“Tetapi saya tidak akan dapat melakukannya tanpa pasukan yang begitu hebat pada musim ini. Kini ayuh fokus untuk dua perlawanan terakhir.” -Agensi
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian