PARIS: Novak Djokovic menempah pertemuan dengan Rafael Nadal di separuh akhir Terbuka Perancis selepas menewaskan pemain Itali Matteo Berrettini.
Dalam pertemuan suku akhir itu, Djokovic memenangi dua set pertama dan berpeluang meraikan kemenangan di hadapan 5,000 penonton yang dibenarkan masuk untuk perlawanan di sebelah malam.
Bagaimanapun Berretini memenangi tie break di set ketiga dan mengheret perlawanan ke set seterusnya.
Permainan terpaksa dihentikan untuk mengarahkan penonton pulang susulan peraturan hanya membenarkan kehadiran sehingga jam 11 malam.
Sebaik perlawanan bersambung, Djokovic memastikan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 6-3 6-2 6-7 (5-7) 7-5.
Djokovic akan bertemu Nadal untuk kali ke-58 dengan bintang Sepanyol itu dalam pemburuan memenangi gelaran ke-14 di Roland Garros.
Nadal, 35, masih diletakkan sebagai pemain pilihan untuk muncul juara, yang bakal menjadi Grand Slam ke-21 dirinya dan bakal memintas Roger Federer buat pertama kali untuk kejuaraan major paling banyak bagi pemain lelaki.
Pemain Serbia Djokovic, 34, dua di belakang Nadal dan Federer selepas memenang Grand Slam ke-18 dirinya di Terbuka Australia pada Februari.
“Saya tidak kisah terpaksa meninggalkan gelanggang kerana saya rasa perlu untuk berehat dan kembali fokus.
“Malang buat kejohanan, buat penonton, kerana had masa itu. Tetapi kami sudah mengetahuinya sebelum perlawanan,” kata Djokovic. – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian