DMSB bekal 6.4 juta dos vaksin Sputnik V

DUOPHARMA Biotech Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn Bhd (DMSB) dijangka membekalkan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V.

Pembekalan vaksin tertakluk kepada pemenuhan syarat yang masih ada di bawah perjanjian pembekalan iaitu persetujuan vaksin oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia serta terma dan syarat pembekalan lain.

Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeterai perjanjian pembekalan dengan kerajaan dan anak syarikat Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) bagi tujuan pembekalan vaksin Sputnik V.

Ia disusuli dengan pengumuman pada 26 Januari lalu membabitkan pemeteraian perjanjian bagi Lembaran Terma antara DMSB dengan kerajaan dan RDIF.

Pengarah Urusan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar mengesahkan kesediaan syarikat itu untuk menawarkan vaksin Sputnik V.

“Pandemik yang menghadirkan cabaran luar biasa kepadarakyat Malaysia hanya dapat diatasi menerusi kerjasama segera dalam pelbagai bidang.

“Duopharma Biotech komited sepenuhnya dan bangga menjadi sebahagian daripada program inokulasi kebangsaan negara,” katanya dalam kenyataan.

Vaksin Sputnik V yang dibangunkan Institut Penyelidikan Epidemiologi dan Mikrobiologi Kebangsaan Gamaleya Rusia (Gamaleya), didaftarkan di 68 negara di seluruh Amerika Utara dan Selatan, Asia Barat, Eropah, Asia dan Afrika.

Tiga negara yang mendaftar Sputnik V iaitu Hungary, Slovakia dan Argentina adalah ahli Skim Kerjasama Pemeriksaan Farmasi Eropah (PIC/S).

Berdasarkan hasil tinjauan, keputusan analisis interim kedua Fasa III yang diterbitkan The Lancet iaitu jurnal perubatan tertua dan paling dihormati di dunia, tahap keberkesanan Sputnik V disahkan pada 91.6 peratus.

Selain itu, Sputnik V menjadi satu antara tiga vaksin dengan penilaian keberkesanan lebih 90 peratus di dunia dan belum berlaku insiden buruk yang serius berkaitan dengan vaksin terbabit.

Menurut RDIF, seramai 20 juta sudah menerima vaksin itu di seluruh dunia menerusi kebenaran penggunaan kecemasan (EUA) yang didaftarkan di 64 negara.

Selain memberi perlindungan penuh ke atas kes Covid-19, Sputnik V juga menjadi vaksin berdaftar pertama di dunia berdasarkan platform berasaskan vektor adenovirus manusia yang dikaji dengan baik.

Keselamatan, keberkesanan dan kekurangan kesan jangka panjang negatif vaksin berasaskan vektor adenovirus sudah dibuktikan oleh lebih daripada 250 kajian klinikal selama dua dekad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.