‘Doakan Palestin dipelihara, dilindungi’ – PM

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak rakyat mendoakan supaya Palestin yang dibedil dan diserang dengan roket rejim Israel, dipelihara serta dilindungi.

Perdana Menteri berkata, rakyat Palestin terpaksa menempuh ujian yang amat besar ketika umat Islam menyambut kedatangan Syawal.

“Saya terkenangkan nasib rakyat Palestin yang pastinya tidak dapat meraikan Aidilfitri, dibedil kediaman mereka oleh jet dan roket rejim Israel.

“Sungguh besar ujian yang terpaksa mereka tempuhi tatkala umat Islam yang lain sibuk merayakan Aidilfitri.

“Sama-samalah kita mendoakan agar Allah pelihara dan lindungi saudara kita di Palestin,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penularan COVID-19 dan kewujudan varian baharu dengan kadar jangkitan lebih tinggi membantutkan aktiviti serta rutin harian dalam menyambut Aidilfitri tahun ini.

Seperti ibu bapa lain, beliau turut terkesan tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama anak, menantu serta cucu yang berada di daerah berlainan, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tahun ini, sekali lagi kita terpaksa menyambut Aidilfitri di rumah sendiri seperti tahun lalu.

“Sedih dan sayu juga apabila takbir raya tahun ini hanya disahut jemaah yang terdiri daripada ahli keluarga, bukan seperti di masjid atau surau seperti mana sambutan sebelum wabak ini melanda negara.

“Saya akui memang amat sukar untuk menahan perasaan ketika bertakbir dengan hanya bertemankan beberapa makmum,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana Malaysia masih dapat meraikan Aidilfitri dalam keadaan tenang tanpa sebarang pergolakan.

“Kita masih boleh bersama keluarga terdekat dan berhubung dengan mereka yang jauh menerusi telefon.

“Sebagaimana orang lain, saya juga menggunakan teknologi seperti (aplikasi) Zoom untuk berhubung, menatap wajah dan berkomunikasi dengan ahli keluarga yang lain.

“Lepas juga rindu biar pun tidak dapat bersama menyambut Aidilfitri yang mulia ini,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri mengajak rakyat untuk bersama mensyukuri nikmat sebagai warga Malaysia tatkala negara lain diuji dengan ujian yang amat getir.

“Semoga Allah SWT memakbulkan doa kita untuk melihat rantaian COVID-19 ini diputuskan secepat mungkin dan kita dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.