Drama Cukup Derita Itu dihenti tayangan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Beratus-ratus syarikat produksi berdepan situasi sukar hingga kerja penggambaran kerap ditangguhkan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

Malah, beberapa drama yang sudah bersiaran di kaca televisyen (TV) juga terpaksa dihentikan tayangan separuh jalan berikutan penggambaran tidak berjaya diselesaikan dalam tempoh yang dikehendaki.

Stesen TV tiada pilihan selain menggantikan drama yang dihentikan tayangan dengan drama ulangan.

Ini termasuklah drama yang mengumpul rating tinggi, Cukup Derita Itu arahan Along Kamaludin yang bersiaran di stesen TV3 yang terpaksa dihentikan siarannya disebabkan beberapa babak tidak sempat dirakam berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh sejak 1 Jun lalu.

Penerbit dan penulis karya berkenaan, Siti Rosmizah berkata, pihaknya tidak sempat menyiapkan penggambaran episod 21 hingga 40 memandangkan penggambaran bermula pada Disember, tahun lalu beberapa kali dihentikan.

“Drama Cukup Derita Itu terpaksa dihentikan hingga episod 20 disebabkan kami tidak dapat meneruskan baki penggambaran disebabkan sekatan pergerakan penuh.

“Ikutkan, ada baki beberapa babak sahaja belum sempat disiapkan. Sekarang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, jadi penggambaran memang tidak dibenarkan. Jadi, penggambaran terhenti pada episod 20 yang disiarkan pada 9 Jun lalu.

“Secara anggaran, saya memerlukan lebih kurang 26 hari lagi untuk menghabiskan baki penggambaran,” katanya kepada BH Online.

Drama Cukup Derita Itu diterajui Ruhainies dan Hisyam Hamid itu memulakan penggambaran pada Disember, tahun lalu. Bagaimanapun, beberapa kali penggambaran terpaksa dihentikan.

Siti Rosmizah berkata, ini termasuklah penggambaran pernah tertangguh selama 10 hari gara-gara salah seorang kru produksi positif COVID-19.

“Mulanya, penggambaran dihentikan disebabkan seorang kru positif COVID-19. Kami terpaksa berehat selama 10 hari.

Kemudian, PKP 2.0 pula dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu, Siti Rosmizah mengumumkan drama bersiri 40 episod yang ditayangkan di slot Samarinda TV3 sejak 6 Mei lalu itu terpaksa dihentikan pada 21 episod disebabkan penggambaran tidak sempat dihabiskan menerusi laman Instagram (IG).

Malah, Ruhainies, Hisyam, Jasmin Hamid, Didie Alias dan Lia Natalia turut menjayakan sesi siaran langsung IG, minggu lalu bagi membincangkan kisah penundaan drama berkenaan.

Rata-rata netizen dalam ruang komen meluahkan rasa sedih memandangkan episod 20 meninggalkan banyak tanda tanya.

Dalam pada itu, Siti Rosmizah berkata, dia amat kecewa apabila karya itu terpaksa dihentikan dan berharap penonton terus bersabar serta menyokong drama berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dia tetap akur dengan keputusan kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh kerana baginya, nyawa dan keselamatan lebih bermakna.

“Saya menerima banyak mesej langsung dalam IG bertanyakan perkara ini. Sejujurnya, saya memang sedih dan kecewa sebab terpaksa dihentikan seketika ketika episod drama mula memuncak.

“Namun, apabila memikirkan soal nyawa dan keselamatan, itu yang patut diutamakan ketika jumlah jangkitan kes pandemik COVID-19 semakin meningkat. Dalam kecewa, saya kena fikir positif.

“Insya-Allah sebaik sahaja penggambaran dibenarkan, saya akan terus menyambung baki penggambaran. Saya boleh beri jaminan, kesinambungan drama akan lebih memberi impak lebih besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.