Dua hospital hibrid Covid-19 di Negeri Sembilan

Seremban: Hospital Jelebu dan Hospital Jempol beroperasi sebagai hospital hibrid Covid-19 bermula semalam bagi menampung keperluan peningkatan kes jangkitan wabak itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, langkah berkenaan bertujuan menampung wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, dan Hospital Tampin yang kini mencapai 80 peratus penggunaan katil bagi pesakit tersebut.

“Sebanyak 94 katil disediakan di Hospital Jempol manakala 42 katil di Hospital Jelebu.

“Kerajaan negeri turut memohon Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuka hospital medan sekiranya terdapat keperluan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri merancang untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Covid-19 (PKRC) di Kolej Jururawat Kuala Pilah dengan menyediakan 800 katil.

Beliau berkata, PKRC di Politeknik Port Dickson yang menyediakan keseluruhan 900 katil pula kini sudah mencapai penggunaan 500 katil.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Aminuddin berkata, seramai 424,823 orang di negeri ini sudah berdaftar untuk menerima suntikan vaksin setakat semalam dengan seramai 99,145 individu telah menerima suntikan vaksin manakala 821 lagi enggan divaksin bagi fasa pertama dan kedua.

Katanya, kerajaan negeri akan turut menambah lapan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam menjelang bulan depan sebagai tambahan kepada 41 PPV di negeri ini setakat ini yang membabitkan lapan dewan awam, klinik kesihatan (13), hospital (tujuh), klinik swasta (lapan) serta lima PPV di hospital swasta.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • © New Straits Times Press (M) Bhd

    Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.