Our website is made possible by displaying online advertisements to our visitors. Please consider supporting us by whitelisting our website.
Categories
News

Dua kilang dikompaun RM10,000, tipu surat kebenaran beroperasi

am@hmetro.com.my

Have you seen this video?

Sungai Petani: Sanggup menipu dengan menunjukkan surat lama dan surat mengisytiharkan kilang sebagai memproses barangan perlu, namun rupanya menjalankan operasi pengeluaran barangan bukan keperluan.

Itu antara taktik yang dikesan polis ketika melakukan pemeriksaan di dua kilang iaitu kilang kitar semula logam dan kilang kayu arang yang dikesan beroperasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh, malam tadi.

Dalam operasi mengejut yang bermula 10 malam hingga 12 tengah malam, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda turut disertai pegawai dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah pada pemeriksaan di lokasi pertama iaitu kilang kitar semula logam mendapati terdapat kepulan asap di kawasan kilang yang dipercayai masih beroperasi pada 10.30 malam.

“Hasil pemeriksaan, kilang itu beroperasi bukan untuk pengeluaran barang keperluan, sebaliknya menjalankan operasi secara haram ketika waktu PKP ini.

“Pemilik kilang itu memberi alasan kilang berkenaan tidak beroperasi, namun secara terang-terangan kepulan asap dilihat di kawasan itu menyebabkan kita terpaksa membawa pemilik kilang itu ke balai polis berhampiran dan mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi bersepadu itu dilakukan tengah malam tadi.

Adzli berkata, dalam pemeriksaan kedua di sebuah kilang berhampiran lokasi pertama pula mendapati, pintu utama di bahagian hadapan kilang pengeluaran arang kayu itu berkunci dari dalam.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa memanjat pagar untuk melihat keadaan di bahagian dalam kilang berkenaan sebelum pekerja membukanya.

“Hasil pemeriksaan mendapati kilang itu dipercayai sedang beroperasi dan hasil semakan mendapati ia adalah kilang pengeluaran arang kayu yang juga bukan kilang barangan keperluan yang dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada surat kilang berkenaan pula mendapati, kilang itu mengisytiharkan surat sebagai kilang memproses minyak dan gas, namun sebenarnya kilang memproses arang kayu.

Beliau berkata, disebabkan itu, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kerana melanggar SOP ditetapkan dan tidak jujur ketika memohon surat kebenaran untuk beroperasi.

“Selain itu, hasil pemeriksaan terhadap 13 pekerja asing di kilang ini mendapati kesemua mereka mempunyai pasport dan dokumen yang sah dan tidak ditahan.

“Oleh yang demikian, kita hanya mengambil tindakan terhadap pemilik kilang berkenaan mengikut Peraturan 16 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

Adzli berkata, selain perlanggaran SOP, kilang kedua itu turut diambil tindakan oleh pihak JTK kerana gagal mendapatkan perakuan dari pihak jabatan berkenaan termasuk penyediaan asrama pekerja.

Selain itu, DOSH juga akan mengambil tindakan susulan selepas membuat semakan dan kilang ini didapati tidak berdaftar dengan jabatan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

    Exit mobile version