Dua mangsa lemas ditemui, dua lagi masih hilang

[email protected]

PUTATAN: Dua daripada empat mangsa yang hilang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Gorongon berhampiran Kampung Contoh, di sini, ditemui anggota pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Mangsa pertama remaja perempuan ditemui jam 8.20 malam tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Seorang lagi mangsa ditemui kira-kira jam 9 malam berhampiran lokasi semua mangsa didakwa dihanyutkan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang ditemui sudah diberikan rawatan awal di lokasi kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, setakat ini keadaan kedua-dua mangsa yang ditemui itu belum dapat dipastikan.

Operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang masih hilang sedang giat dijalankan Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) JBPM.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, empat termasuk tiga beradik dikhuatiri lemas selepas mandi di pantai berkenaan.

Empat mangsa berusia 8 hingga 17 tahun itu dikatakan bersama empat lagi rakan mereka ke pantai berkenaan untuk bermandi-manda.

Bagaimanapun, arus air laut dikatakan secara tiba-tiba deras dan terus menghanyutkan semua lapan mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata empat daripada mangsa berusia sembilan hingga 13 tahun berjaya menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.

“Operasi mencari mangsa dijalankan PPDA JBPM yang melakukan pencarian di permukaan ketika ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.