Dua maut dalam kemalangan motosikal

[email protected]

REMBAU: Dua penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 20, Jalan Seremban-Tampin, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Chembong di sini, mangsa, S Mahesan, 25, maut di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Ikhmal Zaqwan Khan Mohd Bakri, 15, pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Rembau.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati Mahesan menunggang motosikal dari arah Seremban menghala ke Rembau.

“Ketika sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Ikhmal Zaqwan yang datang dari arah bertentangan.

“Kemudian datang motosikal ketiga dari arah Rembau ditunggangi seorang lelaki berusia 29 tahun menghala ke Seremban, tidak sempat mengelak lalu terlanggar serpihan motosikal di atas laluan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Hazri berkata, motosikal yang ditunggang Muhammad Ikhmal Zaqwan turut dibonceng kakaknya, Hana Amyliya Marsyainir Mohd Bakri, 18, dan mangsa kini dirawat di hospital sama, selepas patah kaki dan luka di kepala.

Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal cedera ringan dan dirawat di hospital berkenaan.

“Mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat pada pagi ini di Jabatan Forensik Hospital Rembau.

“Polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.