Elak dwistandard laksana undang-undang perangi wabak

[email protected]

Sejak kebelakangan ini, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 hangat diperdebatkan.

Ramai setuju ia perlu dilaksanakan dengan tegas dan tanpa kompromi, namun tidak kurang mempertikai kaedah penguatkuasaannya.

Ada mendakwa penguatkuasaan kadangkala dilihat ‘berat sebelah’, ataupun tidak berkadaran kesalahan dilakukan.

Tuduhan sebegini sama ada berasas ataupun sebaliknya, tidak harus timbul jika semua pihak memahami konsep kedaulatan undang-undang secara menyeluruh.

Kedaulatan undang-undang bukan sebuah peraturan (rule) ataupun undang-undang (law), namun ia komponen falsafah utama dalam undang-undang, khususnya undang-undang Perlembagaan.

Kepentingan konsep ini di negara kita dijunjung tinggi sehingga diiktiraf sebahagian prinsip Rukun Negara. Secara mudah, konsep kedaulatan undang-undang menuntut kepatuhan dan keterikatan terhadap undang-undang tanpa mengira darjat atau latar belakang, sama ada rakyat kebanyakan mahupun pemerintah.

Konsep ini dibicarakan sejak zaman kegemilangan tamadun Greek dan Rom. Seorang daripada pemikir Greek purba terkemuka, Aristotle misalnya, berpendapat kuasa pemerintah harus tertakluk undang-undang sama seperti rakyat kebanyakan lain.

Jika pemerintah memiliki keistimewaan atau kuasa lebih daripada rakyatnya, maka pemerintah harus menjadi pelindung kepada undang-undang negara itu.

Walaupun konsep ini sudah dibangunkan sejak zaman Greek purba, ia dipopularkan ahli falsafah perlembagaan terbilang British, A V Dicey.

Melalui karyanya Introduction to Study of the Law of Constitution (1885), Dicey menggariskan kedaulatan undang-undang mempunyai tiga elemen asas. Pertama, kuasa menghukum tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya; kedua, kesamarataan dalam pelaksanaan undang-undang dan ketiga, melindungi hak asasi manusia sebahagian daripada memenuhi konsep kedaulatan undang-undang.

Konsep digariskan Dicey seterusnya dibangun dan dikembangkan sarjana terkemudian. Joseph Raz contohnya menyatakan, bagi memenuhi kriteria undang-undang berdaulat, undang-undang itu sendiri harus tidak mendiskriminasi dan tidak bersifat retrospektif, iaitu tidak memberi kesan ke belakang.

Beliau menambah badan kehakiman harus bersifat bebas dan mudah diakses segenap lapisan masyarakat. Undang-undang juga harus bersifat stabil dan tidak mudah diubah, malah peluang membela diri daripada apa-apa pertuduhan harus diberikan secara saksama.

Sarjana undang-undang tempatan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, menyatakan bagi menepati kriteria kedaulatan undang-undang yang sempurna, undang-undang bukan saja perlu digubal dan dikuatkuasakan secara sah, malah mesti bersifat adil.

Tambah beliau, walaupun budi bicara eksekutif dibenarkan, ia tidak boleh melampaui batasan perundangan tertentu. Keadilan sosioekonomi perlu diberi perhatian dan pemerintah harus berkeupayaan melaksanakan serta menguatkuasakan undang-undang secara efektif.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan konsep kedaulatan undang-undang secara khusus, elemennya diterjemahkan secara am melalui beberapa peruntukan.

Perkara 4(1) misalnya, asas kepada konsep kedaulatan undang-undang dalam Perlembagaan menyatakan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang-undang tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah.

Dalam pada itu, Perkara 7 turut menegaskan undang-undang harus bersifat ke depan atau prospektif, manakala Perkara 8(1) memberi jaminan kesamarataan terhadap semua individu di sisi undang-undang.

Perkara 43(4) pula mendukung konsep kedaulatan undang-undang dengan menekankan prinsip kebertanggungjawaban kerajaan kepada Parlimen. Manakala, Bahagian IX Perlembagaan Persekutuan, secara langsung dan tidak langsung menjamin bidang kuasa serta kebebasan badan kehakiman.

Menurut ahli falsafah Rom, Cicero, kebahagiaan sesuatu masyarakat itu bergantung ketaatan setiap individu terhadap undang-undang. ‘Setiap individu’ dimaksudkan meliputi segenap pelosok masyarakat atau kelas sosial, sama ada pemimpin, penguat kuasa, mahupun rakyat kebanyakan.

Oleh itu, konsep kedaulatan undang-undang yang memberi layanan sama rata buat semua golongan tanpa kompromi adalah tunjang utama memastikan segala peraturan berkaitan dipatuhi, sekali gus membantu usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

Soal pilih kasih atau ketidaktelusan dalam penguatkuasaan tidak harus timbul sekiranya konsep kedaulatan undang-undang dihayati sepenuhnya.

Walaupun undang-undang harus dilaksanakan secara tegas, ia perlu dilakukan secara berhikmah. Begitu juga ruang rayuan terhadap hukuman, harus disediakan secukupnya, bahkan hukuman mesti munasabah dan setimpal kesalahan.

Ketelusan dan kesaksamaan pihak berwajib menguatkuasakan peraturan berkaitan akan membina keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menghadapi cabaran pandemik.

Pada masa sama, rakyat juga bertanggungjawab memastikan undang-undang dilaksanakan adil dan saksama. Rakyat boleh memberi maklum balas membina bagi memastikan penguatkuasaan lancar.

Jika ada salah laku dalam penguatkuasaan, menjadi kewajipan rakyat melaporkannya kepada pihak berkaitan untuk tindakan sewajarnya.

Rakyat perlu mengelak kritikan tidak membina dan merosakkan khususnya di media sosial kerana ia mampu melemahkan moral masyarakat, terutama dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Mana-mana kesilapan dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang jika ada harus dipelajari dan diinsafi, seterusnya diperbaiki bagi memastikan keberkesanan pada masa mendatang.

Pada masa sama, undang-undang dan peraturan mengenai COVID-19 diusul untuk disemak semula bagi mengelak timbulnya persepsi negatif khususnya dalam kalangan rakyat, bahawa undang-undang dan peraturan berkaitan pandemik bersifat kurang sesuai atau menekan.

Saya berpendapat, semakan semula satu keperluan. Mekanisme pematuhan bersifat bukan perundangan juga harus digiatkan seiring penguatkuasaan undang-undang.

Misalnya, pendidikan mengenai pencegahan jangkitan COVID-19 berterusan serta dialog antara semua pemegang taruh – pemimpin, agensi penguat kuasa dan rakyat – bagi memupuk kesefahaman dan kesatuan dalam memerangi COVID-19.

Oleh itu, penghayatan terhadap kedaulatan undang-undang kunci utama menghadapi cabaran pandemik. Kontroversi tidak sepatutnya timbul seperti pendekatan dwistandard dalam pelaksanaan undang-undang mahupun SOP berkaitan COVID-19 – sama ada terbukti mahupun sebaliknya.

Ia hanya membina perasaan prasangka terhadap pihak berwajib, sekali gus merencatkan usaha bersama dalam membasmi pandemik.

Bak kata Lord Hewart dalam kes R v Sussex Justices, ex parte McCarthy, “… keadilan bukan saja harus ditegakkan, tetapi secara nyata dan tanpa apa-apa keraguan dilihat ia ditegakkan”.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Multimedia, Kampus Melaka

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.