Empat hari hidup sendirian dalam dewan

[email protected]

Tumpat: “Sudah empat hari saya tidak masuk ke rumah, sebaliknya tidur dan menjalankan rutin harian di dewan yang terletak tidak jauh dari rumah,” kata seorang penduduk Kampung Teluk Renjuna, di sini, yang dikesan positif Covid-19.

Muhammad Hanif Hanafi, 23, berkata situasi itu berikutan daripada enam ahli keluarga, hanya dia seorang positif wabak itu dan berasa sangat terkejut sebaik keputusan itu diketahui Ahad lalu.

“Disebabkan tiada lagi arahan hadir ke pusat kuarantin, saya menjalankan pengasingan sendiri dengan tinggal di dewan di kawasan chalet milik keluarga tidak jauh dari rumah.

“Segala rutin harian saya lakukan di dewan itu manakala untuk makan pula, ahli keluarga akan menghantar setiap hari dengan meletakkannya dalam jarak difikirkan selamat sebelum saya mengambilnya,” katanya ketika ditemui di jeti Kok Majid di sini, hari ini.

Muhammad Hanif antara 55 penduduk dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Sungai Pinang yang didapati positif Covid-19 dan dibawa ke tanah besar dengan menaiki bot disebabkan empat kampung dalam kawasan itu terletak di delta Sungai Kelantan.

Dia yang hanya membawa sebuah beg sandang dan memuatkan keperluan asas menaiki bas disediakan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan kini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salor, Kota Bharu.

Empat kampung dikenakan PKPD adalah Teluk Renjuna, Pulau Beluru, Pantai Haji Nik Mat dan Pantai Suri manakala sebuah lagi kampung berhampiran iaitu Pulau Seratus turut mencatatkan kes positif.

Setakat hari ini, seramai 214 penduduk dari lima kampung itu positif Covid-19 dan urusan membawa mereka ke PKRC dijalankan bermula hari ini membabitkan 55 orang manakala selebihnya dibawa esok dan lusa.

Seorang lagi penduduk dikesan positif Covid-19, Mohd Haziq Ramli, 19, dari Kampung Pantai Haji Nik Mat, berkata dia sudah dapat menjangka seluruh ahli keluarganya dijangkiti wabak itu memandangkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit.

“Bapa saya dibawa ke pusat kuarantin semalam kerana berisiko memandangkan dia ada penyakit asma manakala saya dan dua adik dibawa hari ini.

“Emak dan kakak dijangka akan diambil esok dan kami tidak tahu sama ada akan ditempatkan di pusat kuarantin sama atau tidak.

“Yang penting, kami berdoa agar semua ahli keluarga selamat dan dapat pulang ke rumah semula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.