Empat penduduk Palestin terbunuh di Tebing Barat

Gaza: Empat penduduk Palestin maut dalam insiden dengan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat, pada Selasa, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Ia berlaku ketika penduduk Palestin di Tebing Barat melakukan tunjuk perasaan susulan serangan rejim Israel di Semenanjung Gaza.

Rejim Israel mendakwa, ketika tunjuk perasaan berdekatan Ramallah itu, beberapa tunjuk perasaan melepaskan tembakan rambang ke pasukan tentera yang kemudian membalasnya dengan tembakan.

Sejurus selepas itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan mangsa maut, Mohammad Hamid, 25, akibat ditembak di dadanya di pintu masuk Al-Bireh, utara Ramallah.

Dua lagi lelaki turut maut dengan seorang daripadanya ditembak di bahagian dada dan seorang lagi ditembak di kepala.

Rejim Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, pada 10 Mei, selepas pejuang Hamas melancarkan roket ke arah wilayah dikuasai Israel.

Ia selepas tempoh diberi Hamas kepada Israel untuk mengundurkan pasukan keselamatannya yang bertempur dengan penunjuk perasaan di Masjid al-Aqsa, berakhir.

Pertempuran di masjid berkenaan tercetus selepas tindakan kejam rejim zionis mengusir keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Dalam pada itu, penduduk Palestin di Tebing Barat semalam menyertai tunjuk perasaan bagi membantah serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza.

Ia menyebabkan semua perniagaan bukan keperluan milik Palestin di Tebing Barat termasuk di Baitulmaqdis Timur ditutup.

Palang Merah Palestin berkata, pasukan mereka sudah merawat lebih 150 orang di Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Mangsa terbabit termasuk 35 orang yang cedera akibat ditembak peluru hidup, serta lebih 80 orang yang diserang dengan gas pemedih mata.

Pihak berkuasa Palestin mengesahkan, sejak 10 Mei lalu, pasukan rejim Israel membunuh 24 penduduk Palestin di Tebing Barat.

Seorang pekerja stesen gas di Baitulmaqdis Timur sempadan bandar barat, Israel, Ala Judeh berkata, dia menyertai tunjuk perasaan itu.

Katanya, dia memilih bekerja di situ, kerana lebih stabil, namun majikannya tidak melayannya dengan baik.

“Dengan menyertai mogok ini, kami mula rasa kami bukan hanya hamba mereka,” katanya.

Sementara itu, pelajar di Kota Lama Baitulmaqdis, Dunia Dakkak, 20, baru saja pulang bersama ibunya selepas menyertai tunjuk perasaan di Pintu Gerbang Damsyik.

Katanya, penunjuk perasaan menyanyikan dan mengibarkan bendera Palestin sebelum polis Israel meleraikan kumpulan berkenaan dengan bom tangan dan air berbau busuk.

Penduduk Baitulmaqdis Timur itu berkata, tunjuk perasaan itu memberikannya rasa perpaduan dengan rakyat Palestin di Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan warga Arab Israel keturunan Palestin.

“Semua orang bersatu hati menjadi satu.

“Ini satu benda yang baru dan bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.