FAM hantar surat rayuan kepada FIFA

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menghantar surat rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) supaya membuat ketetapan adil dan saksama kepada semua pasukan terbabit dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata ia susulan penarikan diri Korea Utara yang membawa pelbagai kemungkinan termasuk pungutan mata ke atas pasukan tempat terakhir setiap kumpulan tidak akan dikira.

Katanya, perkembangan itu sekali gus menyukarkan perancangan dan peluang kebanyakan pasukan memandangkan pusingan kedua itu sudah memasuki penghujung saingan dengan berbaki tiga atau empat perlawanan.

“Dalam surat rayuan tersebut, FAM menegaskan supaya FIFA perlu tampil dengan satu penyelesaian atau ketetapan yang saksama kepada semua pasukan dengan menitik beratkan semangat ‘fair play’ dan mengambil kira faktor integriti dalam sukan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Semalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Korea Utara menarik diri daripada meneruskan baki kempen kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

Dalam satu kenyataan di sini, badan induk itu menjelaskan perkara berkenaan akan dirujuk kepada jawatankuasa penganjur untuk kejohanan FIFA dan perincian lebih lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, FAM dilaporkan menyerahkan kepada AFC untuk membuat keputusan terbaik mengenai tindakan Korea Utara yang dilaporkan mahu menarik diri dari menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Stuart dilaporkan berkata sekiranya benar Korea Utara menarik diri dari kempen itu, ia mungkin turut akan memberi kesan negatif terhadap peluang skuad Harimau Malaya walaupun pasukan itu tidak berada dalam kumpulan sama.

Sekiranya Korea Utara disahkan menarik diri, semua keputusan perlawanan menentang pasukan tercorot dalam semua kumpulan berkemungkinan besar tidak akan dikira.

Jika ia benar berlaku, berdasarkan kedudukan semasa dalam kumpulan G, dua kemenangan Malaysia ke atas Indonesia tidak dikira namun skuad kebangsaan masih berpeluang mendapat slot automatik ke Piala Asia 2023 dan mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 melalui kedudukan tempat kedua terbaik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.