KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus ‘memburu’ pemain berdarah kacukan yang dirasakan sesuai untuk menyarung jersi kebangsaan dan diyakini mampu meningkatkan lagi kemampuan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ‘pintu’ sentiasa terbuka kepada mana-mana pemain berdarah kacukan yang layak untuk beraksi apatah lagi selepas Malaysia berjaya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain berdarah kacukan, Dion Cools.
Kemasukan Cools yang beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah bersama kelab Denmark, Midtjylland menentang Liverpool, Ajax dan Atalanta musim ini menyaksikan skuad kebangsaan kini diperkuat dengan enam pemain berdarah kacukan.
Selain Cools, lima lagi pemain berdarah kacukan yang menyarung jersi skuad kebangsaan adalah Sam Sommerville, Matt Davies, La Vere Corbin Ong, Junior Eldstal dan Brendan Gan.
“Kita harap banyak lagi pemain (berdarah kacukan) mungkin Wan Kuzain, kita dapat tahu hari ini (kelmarin) ada ‘tweet’ di Twitter (dia) macam berminat. Kita pernah ikuti perkembangannya dalam setahun ke dua tahun lepas.
“Kita sedia menerima pemain berkualiti untuk memberi peluang kepada barisan kejurulatihan memilih bagi membarisi skuad kebangsaan.
“Bila kita dapat itu (pemain kacukan), kita sama sama berdoa dan harapkan pasukan ini berjaya,” kata Hamidin ketika meninjau sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai, semalam.
Terdahulu, kehadiran Cools bersama skuad kebangsaan tampak menarik minat Wan Kuzain Wan Kamal yang ketika ini beraksi bersama Rio Grande Valley di Amerika Syarikat (AS).
Menerusi ciapan di Twitternya, Kuzain yang pernah menyertai sesi latihan skuad Bawah 22 tahun (B-22) untuk Sukan SEA 2019 meletakkan emoji sedang berfikir seolah-olah menandakan dirinya sedang keliru atau berbelah bagi.
Dia turut meletakkan berita mengenai Cools dari laman sesawang FAM di ciapan itu dan emojinya itu menarik perhatian ramai peminat bola sepak negara yang berhasrat untuk melihat Kuzain mengikut jejak langkah Cools.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian