FBI tembak lelaki cuba ceroboh ibu pejabat CIA

WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata ditembak oleh ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di pintu masuk ibu pejabat Agensi Perisikan Pusat (CIA), semalam.

Lelaki yang tidak dikenal pasti identitinya itu dihalang untuk melepasi pintu pagar untuk ke laman bangunan berkenaan di sini.

Sebelum itu, pasukan keselamatan berusaha selama beberapa jam untuk berunding dengan lelaki itu dan memintanya untuk menyerah diri.

FBI dalam kenyataan berkata, individu itu keluar dari kenderaan dengan senjata dan ditembak oleh pasukan keselamatan.

“Suspek cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Terdahulu, jurucakap CIA berkata, pihaknya menyedari insiden itu yang berlaku di kawasan terletak beberapa ratus meter dari bangunan utama agensi berkenaan.

Kawalan keselamatan di ibu pejabat berkenaan yang terletak di Langley, Virginia, berhampiran laluan yang sibuk, dipertingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 1993, seorang lelaki Pakistan, Mir Aimal Kansi, menembak mati dua kakitangan agensi berkenaan dan mencederakan tiga yang lain.

Ketika kejadian, mangsa berada di dalam kereta dan menunggu di lampu isyarat untuk memasuki laman bangunan CIA.

Kansi melarikan diri ke Pakistan dan hanya ditahan empat tahun kemudian.

Dia kemudian diekstradisi ke Amerika Syarikat di mana dia didakwa atas tuduhan bunuh dan dihukum mati.

Lelaki itu menjalani hukuman mati pada 2002. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.