Fenomena Kampong Pisang Mamat Khalid

[email protected]

Kuala Lumpur: “Mungkin penonton gemar melihat gelagat watak-watak yang selalu ditimpa masalah ini.”

Demikian kata pengarah dan penerbit, Mamat Khalid apabila ditanya mengenai formula kejayaan francais filem Kampong Pisang menambat hati peminat filem tanah air.

Mamat ketika dihubungi mengakui tidak mempunyai sebarang formula, sebaliknya hanya mengadaptasikan idea ke layar.

“Saya pun tak tahu apa kekuatan yang ada dalam naskhah Kampong Pisang. Tiada formula yang khusus. Saya hanya menulis dan adaptasikan idea itu ke layar untuk disajikan kepada penonton dalam bentuk filem,” katanya kepada Harian Metro.

Selepas menambat hati penonton dengan drama Kampong Pisang Bersiri-Siri, Mamat mencetus fenomena menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang mencatat kutipan RM5 juta dalam tempoh tujuh minggu tayangan di saluran Astro First.

Terbaharu, Mamat tampil dengan kelainan menerusi filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang turut mencetus fenomena apabila mencatat kutipan RM1 juta dalam tempoh empat hari.

Apa yang menarik, majoriti pelakon yang membintangi dua filem ini adalah pelakon kurang dikenali. Malah, ada di antara mereka bukanlah pelakon, tetapi digarap dengan baik oleh Mamat hingga mereka mampu membawa watak dengan berkesan.

“Dari segi watak-watak pelakon utama, biasanya saya letakkan pelakon yang popular, cuma watak-watak di sekelilingnya yang dibintangi pelakon yang kurang dikenali,” katanya.

Mamat berkata, dia bersyukur kerana filem terbitan Astro Shaw dan syarikat produksi miliknya, Enjit Enjit Semut diterima kebanyakan penonton.

“Terima kasih kepada semua barisan pelakon, kru dan semua yang terbabit di atas hasil usaha keras dalam menjayakan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Astro yang sentiasa meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mengetengahkan karya-karya yang dihasilkan.

“Sokongan padu daripada semua pihak ini menjadi penyuntik semangat untuk saya terus menghasilkan lebih banyak karya-karya berbeza dan menarik pada masa akan datang,” katanya.

Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa menampilkan lakonan Datuk Awie, Kaka Azraf, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler, Siti Elizad Sharifuddin, Raja Azmi, Imuda, Nazari Ibrahim, Jambeso dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.