Foto Wany jadi bahan lelaki gila ‘seks’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Penyanyi Menahan Rindu, Wany Hasrita, 29, tidak terkejut ada rakaman video aksi tidak senonoh seorang lelaki memuaskan nafsu dengan menggunakan fotonya hingga tular dalam laman sosial sejak Jumaat lalu.

Wany menyedarinya atas maklumat pengikut laman sosial berkata, sebelum ini, dia pernah perasan gambar tidak senonoh seperti itu dikongsikan di laman Tumblr.

Disebabkan malu, Wany berkata, dia tidak mahu mengulas, namun terpaksa bersuara dalam laman Instagram (IG) selepas ramai peminat menghantar mesej memaklumkan padanya.

“Jika diikutkan, saya mahu mendiamkan diri sahaja dan tidak mahu membesarkan perkara ini kerana saya malu. Siapa tak malu muka kita dibuat video tidak senonoh. Sebelum ini, ada banyak dalam aplikasi Tumblr, pihak tidak bertanggungjawab ‘superimposed’ gambar artis dengan perbuatan jijik.

“Dan, jujurnya, saya tidak mampu nak buat apa-apa terhadap perkara ini kerana ia berkaitan dengan kelakuan sesetengah manusia.

“Tetapi, saya banyak menerima banyak mesej langsung. Bagi memberikan pencerahan, saya memutuskan untuk memuat naik kenyataan dalam IG. Di situ, saya mengatakan sekiranya mereka terjumpa video tidak senonoh ini, tolonglah laporkan. Itu sahaja yang saya boleh buat,” katanya kepada BH Online.

Tidak lama selepas banyak laporan dibuat, Wany bersyukur video berkenaan sudah diturunkan oleh Twitter.

“Alhamdulillah, Twitter sangat membantu dalam soal ini, di mana laman ini sudah menurunkan video berkenaan dan akaun yang memuat naikkan video ini,” katanya.

Bagaimanapun, Wany tetap kelihatan tenang dan tidak melatah meskipun ia membabitkan maruahnya sebagai wanita Islam.

“Apabila tengok gambar saya sebegitu mestilah saya sedih dan mempersoalkan kenapa ada pihak yang sanggup melakukannya, apatah lagi pada bulan puasa. Banyak perkara yang bermain dalam pemikiran hingga saya berfikir mungkin salah saya memuat naik gambar.

“Jadi, saya mengambil langkah, bukanlah tidak peduli atau reda, tetapi bersuara supaya orang lain boleh melaporkan. Dan syukur ramai membantu yang melaporkannya.

“Pemikiran saya juga sudah mengatakan kalau sudah menutup aurat macam mana pun, tetapi sekiranya ada sikap tidak bermoral di kalangan kita, saya tidak boleh nak buat apa, melainkan melaporkan sahaja,” katanya.

Terdahulu, satu akaun Twitter memuat naik video seorang lelaki melakukan aksi menjijikkan di hadapan foto Wany.

Dalam perkembangan lain, Wany akan tampil dengan single terbaharu yang berjudul Pedas berkolaborasi bersama Sophia Liana.

Istimewanya, single itu menampilkan sesuatu yang segar dan sisi berbeza apabila tampil dengan genre pop.

“Single dihasilkan oleh Altimet dan Shazzy. Saya teruja mahu mengeluarkan single Pedas ini. Bagaimanapun, takut juga dengan maklum balas netizen sebab saya ada menari dalam video video lagu ini.

“Diharapkan pendengar boleh menerima dengan positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.