Foxconn Singapore Pte Ltd (Foxconn), anak syarikat Hon Hai Precision Industry Co Ltd, menjadi antara pemegang saham utama dalam Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dengan 5.03 peratus kepentingan.
Menurut DNeX dalam kenyataan, pihaknya menerima makluman rasmi daripada Foxconn pada 13 Jun lalu mengatakan ia telah membeli 120 juta saham daripada pemegang saham sedia ada DNeX.
Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata DNeX sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan rakan strategik dan pelabur yang dapat memberi nilai kepada kumpulan.
“Kami mengalu-alukan kemasukan pemegang saham baharu, Foxconn. Kami menjangkakan perkembangan terbaru ini dapat membawa potensi besar kepada DNeX dan kami percaya kemasukan Foxconn dapat menawarkan peluang untuk membuka dan mencipta nilai di rantaian nilai sektor teknologi tinggi dan seterusnya.
“Bidang berpotensi untuk DNeX dan Foxconn bekerjasama adalah produk semikonduktor dan hiliran, kenderaan elektrik dan perniagaan yang berkaitan dengan rantaian nilai kenderaan elektrik,” katanya dalam kenyataan.
Melangkah ke hadapan, Syed Zainal berkata, DNeX fokus untuk mengembangkan perniagaannya dan mengubah syarikat menjadi pemain teknologi yang mampu bersaing di pasaran global.
Katanya, bersama dengan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing and High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (“CGP Fund”), DNeX kini sedang menyelesaikan pengambilalihan SilTerra Malaysia Sdn Bhd.
“Prospek sektor semikonduktor dijangkakan akan tetap kukuh dengan peningkatan permintaan sehingga 2024, yang dapat menghasilkan pendapatan positif yang mampan untuk SilTerra dan DNeX.
“Ini menjadikan pengambilalihan SilTerra tepat pada masanya dan strategik untuk DNeX. Kami yakin bahawa perniagaan kami di pasaran semikonduktor akan berkembang dengan pesat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian