Site icon Neotizen News

Ganjaran lumayan untuk mereka yang divaksin

Washington: Beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) menawarkan insentif dan ganjaran lumayan dalam usaha menggalakkan penduduknya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

CNN melaporkan, selain kerajaan negeri, beberapa syarikat di AS, salah satunya, Kroger yang turut mengambil langkah sama dengan memulakan kempen pemberian ganjaran bagi yang mengambil suntikan vaksin minggu depan.

Kroger dalam satu kenyataan memaklumkan antara ganjaran ditawarkan adalah wang tunai AS$1 juta (kira-kira RM4.12 juta) untuk lima individu terpilih dan peluang memenangi hadiah belanja keperluan rumah percuma selama setahun bagi 50 individu bertuah.

“Lebih cepat kita mencapai imuniti berkelompok, lebih pantas kita dapat kembali melakukan aktiviti barbeku di halaman belakang rumah, menyaksikan persembahan muzik secara langsung dan berkumpul di majlis keramaian,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kroger, Rodney McMullen.

Kempen itu adalah kerjasama syarikat itu dengan pentadbiran Presiden Joe Biden yang menggalakkan peningkatan vaksinasi sebagai agenda nasional untuk mencapai sekurang-kurangnya 70 peratus individu dewasa di AS mendapat suntikan dos pertama menjelang 10 Julai depan.

“Kami menghargai kepimpinan Presiden, Joe Biden dan kerjasamanya dengan sektor swasta ke arah meningkatkan vaksinasi dalam populasi AS termasuk mereka yang bukan berkulit putih dan individu bawah umur 30 tahun,” kata McMullen.

Sementara itu, di Ohio, Gabenornya, Mike DeWine memaklumkan kadar vaksinasi dilaporkan meningkat sehingga 45 peratus susulan pengumuman loteri Vax-a-Million pada 13 Mei lalu.

Kumpulan dengan lonjakan inokulasi terbesar adalah mereka yang berumur 16 dan 17 tahun dengan peningkatan vaksinasi sebanyak 94 peratus dalam tempoh kira-kira dua minggu, kata DeWine.

Negeri lain turut mengikut jejak langkah Ohio dan terbaru, West Virginia mengumumkan akan memulakan cabutan untuk pelbagai hadiah merangkumi biasiswa kolej, trak pikap dan wang tunai sebagai insentif baru untuk menggalakkan penduduk mengambil suntikan Covid-19.

“Kami akan melakukan apa yang dilakukan oleh Ohio, tetapi kami akan menjadikan penduduk jutawan sebelum ia (pandemik) berakhir,” kata Gabenor Jim Justice.

Dalam pada itu, Gabenor New York Andrew Cuomo mengumumkan akan menawarkan biasiswa empat tahun penuh kepada mana-mana pelajar kolej awam atau universiti di New York berusia 12 hingga 17 tahun yang memilih untuk mendapatkan vaksin Covid-19 pertama mereka, hingga 7 Julai.

Cabutan mingguan akan diadakan untuk menawarkan 50 biasiswa merangkumi tuisyen penuh, bilik dan dewan.

Menurut Cuomo, mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun di New York merangkumi kira-kira 10 peratus daripada ujian Covid-19 yang positif di negeri ini.

“Hadiah lain termasuk percutian empat hari, biasiswa penuh ke universiti awam Delaware, pas tahunan Taman Negara Delaware, tiket dan perkhemahan di Firefly Music Festival, dan pakej hadiah dari rakan kongsi termasuk Funland, Wilmington Blue Rocks dan Delmarva Shorebirds, “menurut pejabat Gabenor John Carney.

California pula menggunakan skema pemberian hadiah untuk program insentif mereka sebagai yang terbesar di seluruh negara, menurut pegawai negerinya .

Negeri itu cuba ‘memancing’ penduduknya mendapatkan suntikan vaksin dengan insentif berjumlah AS$116.5 juta AS (kira-kira RM480.038 juta) yang diumumkan, termasuk hadiah utama AS$15 juta (kira-kira RM61.8 juta) untuk dibahagikan antara 10 penduduk California yang diberi vaksin Covid-19.

Setakat ini, kira-kira 50 peratus warga California yang memenuhi syarat diberi vaksin lengkap dan 12 peratus lagi sudah menerima satu dos vaksin Covid-19, menurut pegawai negeri.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Exit mobile version