Gencatan senjata tidak bertahan selagi Israel menjajah

[email protected]

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyifatkan gencatan senjata di Gaza tidak bertahan lama, melainkan Israel menarik diri dari wilayah yang dijajah di Tebing Barat terutama Baitulmaqdis dan menamatkan pengepungan Gaza.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata pihaknya mengalu-alukan gencatan senjata namun menegaskan keadilan dan kebebasan Palestin daripada penjajahan rejim Zionis Israel tetap menjadi keutamaan.

Beliau berkata, serangan yang mengakibatkan 232 terbunuh dan lebih 1,000 cedera selain kemusnahan 450 bangunan dan infrastruktur mencerminkan bagaimana serangan rejim zionis itu bertujuan melumpuhkan Gaza.

Katanya, persetujuan Israel terhadap gencatan senjata selepas melakukan tindak balas yang sangat tidak seimbang terhadap Gaza tidak melepaskan mereka daripada tanggungjawab jenayah perang.

“Kami menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk segera memulakan siasatan atas tindakan jenayah perang oleh Israel.

“ICC tidak harus ditundukkan oleh bantahan Amerika Syarikat (AS) kerana Israel diikat oleh pelbagai perjanjian di bawah undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi ini, Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas selama 11 hari.

Sementara itu Mohd Azmi, berkata walaupun Joe Biden mengumumkan pencapaiannya terhadap gencatan senjata, Presiden Amerika (AS) itu tetap menegaskan hak Israel mempertahankan diri.

Katanya, tiada satu pun diperkatakan Biden berkenaan hak rakyat Palestin untuk membela diri sejak tujuh dekad dikuasai oleh Israel secara kejam.

Justeru katanya, isyarat Biden untuk meneruskan proses perdamaian di bawah penyelesaian dua negara pasti akan gagal kerana ini bukan mengenai perselisihan dua pihak tetapi penjajahan satu pihak ke atas pihak yang lain.

“Kami menolak sebarang kompromi dan mengutuk penjajahan dan pendudukan haram Yahudi secara terus menerus di Tebing Barat yang merupakan strategi peluasan kawasan jajahan Israel.

“Kecuali usaha ini dihentikan dan tanah yang dirampas dikembalikan kepada Palestin, ketegangan tidak akan reda,” tegasnya.

Mohd Azmi dalam pada itu menyeru masyarakat antarabangsa mempercepat bantuan kemanusiaan dan segera membangunkan semula Gaza menjadi normal.

“Walaupun ini adalah pengulangan proses membangun-menghancurkan-membangun kembali yang tidak seharusnya terjadi, hakikatnya bantuan kemanusiaan yang mendesak tidak dapat diabaikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.