Gunakan Ordinan Darurat untuk lanjut moratorium

[email protected]

PUTRAJAYA: Pemuda UMNO menggesa kerajaan memanfaatkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk mengarahkan institusi kewangan memberi moratorium secara automatik kepada golongan tertentu tanpa sebarang caj tambahan atau keuntungan terakru.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pergerakan itu menerima banyak maklum balas daripada masyarakat mencadangkan supaya institusi kewangan memberikan moratorim sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan lagi.

Katanya, ramai mengadu hidup susah dan kehidupan semakin tertekan berikutan keadaan ekonomi kian meruncing akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan pergerakan.

“Hakikatnya tiada satu pun bank atau institusi kewangan rugi, jauh sekali muflis akibat penawaran moratorium apabila PKP kali pertama dilaksanakan dulu.

“Justeru, Pemuda UMNO meminta kerajaan memanfaatkan Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara automatik kepada kumpulan tertentu.

“Apa guna proklamasi darurat jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat? Apa guna ordinan darurat jika pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan di atas kesempitan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 berkuat kuasa mulai 11 Jan lalu sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Ordinan itu antara lain memperuntukkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam persekutuan berikutan pandemik COVID-19.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan pelaksanaan PKP seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri berkuat kuasa esok. Bagaimanapun ketika tempoh PKP itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.