Gunakan sepenuhnya kapasiti hospital awam, swasta

[email protected]

Kuala Lumpur: Kenaikan mendadak kes jangkitan Covid-19 kebelakangan ini menjadikan kadar penggunaan katil rawatan kritikal (ICU) di hospital seluruh negara sudah melebihi 100 peratus.

Malah, lebih membimbangkan ia memberi tekanan hebat kepada sistem kesihatan negara yang kini terpaksa berdepan isu pemilihan pesakit Covid-19 yang kritikal untuk dimasukkan ke ICU.

Penuntut Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nurhidayah Lamien, 38, berkata apabila pandemik menular lebih pantas, keputusan yang sukar perlu dibuat seperti menilai manfaat atau konsep ‘lifeboat ethics’ dalam masa yang sama memastikan kemudaratan dapat dibendung.

“Contoh, secara etikanya pakar perubatan berusaha untuk menyelamatkan semua pesakit tetapi terdapat keadaan di mana mereka perlu memilih untuk memberi keutamaan kepada kes yang dapat memberi kesan baik berpanjangan berbanding kesan baik sementara khususnya dalam keadaan fasiliti mesin pernafasan tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan.

“Sungguhpun begitu, alangkah baiknya fokus diberi kepada perkara positif seperti meningkatkan kesihatan dengan memakan vitamin bagi meningkatkan imuniti serta mematuhi SOP supaya tiada rakyat yang perlu terbabit dalam ‘lifeboat ethics’ dan keputusan sukar perlu dibuat oleh pakar perubatan demi masalah umum.

“Sekiranya semua rakyat memainkan peranan masing-masing dan lebih bertanggungjawab, secara tidak langsung dapat membendung penularan wabak ini dengan berkesan,” katanya.

Bagi kakitangan kerajaan, Noor Azralina Zakaria, 35, dia percaya bukan di Malaysia sahaja yang menghadapi situasi ini, tetapi juga di negara lain yang melaporkan kes Covid-19 tinggi dan kritikal.

Katanya, untuk menangani isu wad ICU melebihi kapasiti ini, beberapa perkara boleh diambil antaranya meningkatkan jaringan kerjasama antara hospital kerajaan dan swasta.

“Pesakit kritikal boleh dipindahkan ke ICU hospital di negeri lain yang mempunyai kes Covid-19 rendah.

“Ia bergantung juga kepada keadaan pesakit dan disarankan pesakit yang stabil atau kompilkasi tidak teruk sahaja yang dipindahkan.

“Selain itu, dicadangkan pihak hospital kerajaan khususnya hospital dengan kemasukan ICU melebihi 70 peratus untuk menukar wad biasa kepada wad ICU bagi memastikan rawatan rapi dan khusus dapat diberikan kepada pesakit Covid-19 peringkat empat dan lima serta pesakit kritikal lain (selain Covid-19).

“Selain itu, penempatan semula staf kesihatan untuk menyokong keperluan di wad ICU juga dapat membantu merawat lebih ramai pesakit kritikal.

“Dalam situasi meruncing kini, kerjasama strategik dalam sektor kesihatan membabitkan hospital kerajaan dan swasta amatlah diperlukan demi meneruskan sokongan perkhidmatan kesihatan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, kakitangan swasta, Nurhafifah Sahuk, 28, menganggap daripada sudut kemanusiaan, perkara ini dilihat sebagai tidak wajar.

Menurutnya, masih ada kebarangkalian pesakit kritikal mampu sembuh jika dirawat di ICU walaupun pada awalnya dikatakan tiada peluang sembuh.

“Kenapa tidak kita gunakan semua hospital swasta, memaksimumkan kapasiti sedia ada sebaiknya dan menambah bilangan ICU untuk menampung pesakit Covid-19 yang bertambah.

“Prosedur tidak memberi pesakit Covid-19 yang tiada harapan sembuh ke ICU sepatutnya adalah jalan terakhir apabila tiada lagi penyelesaian dapat dilaksanakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Read More
    Sumber Web: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published.

    This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.