JOHOR BAHRU: Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 12 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah berjumlah RM284,200 dengan menawarkan skim pelaburan emas pada 2014.
Tertuduh, Mohd Hairulnizam Wahab, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa suatu lesen sah diberikan bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), antara Mei hingga Disember 2014.
Tertuduh yang juga duda dengan tiga anak, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah sekolah menengah, di sini, dan sebuah kedai di Pasir Gudang, mengikut Seksyen 137(1) Akta 758 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chai Ing Hien, manakala tertuduh diwakili peguam, Fahmi Adilah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan atau keseluruhannya berjumlah RM48,000, dengan seorang penjamin.
Ahmad Fuad juga menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa menawarkan skim pelaburan emas dengan pulangan sebanyak 25 peratus daripada wang dilaburkan yang akan dibayar pada bulan pertama, diikuti 50 peratus keuntungan pada bulan kedua dan seterusnya.
Mangsa yang juga rakan sekerja tertuduh ketika kejadian, membuat laporan polis pada Februari 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Berita Harian