Habis anak patin mati kerana sisa kilang kertas

[email protected]

Temerloh: Ratusan ikan sangkar Sungai Pahang di kampung Pengkalan Manggis dekat sini, mati dipercayai akibat pencemaran berpunca dari sebuah kilang kertas berhampiran.

Penduduk mendakwa air Sungai Pahang berubah hitam serta berbau busuk pada 9 Jun lalu menyebabkan anak ikan yang diternak dalam sangkar mati.

Pengusaha ikan sangkar, Mohd Zahir Ibrahim, 37, berkata, dia terkejut apabila melihat air Sungai Pahang seperti minyak hitam dan ikan ternakannya mula mati pada petang 9 Jun lalu.

“Baunya busuk seperti air kumbahan selain terdapat sisa buangan dan habuk yang melekat pada ikan.

“Ratusan anak ikan patin yang baru berusia seminggu mati dan kejadian sama pernah berlaku dua tahun lalu.

“Saya agak terkilan kerana kejadian ini berlaku ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan pendapatan ramai penternak ikan sangkar terjejas,” katanya.

Dia yang mempunyai 48 sangkar ikan patin dan talapia berkata, aduan sudah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sampel air diambil oleh pihak jabatan terbabit pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah JAS Pahang, Mohd Sani Mat Daud mengesahkan pencemaran itu akibat pelepasan sisa melalui paip bawah tanah dari sebuah kilang kertas.

Beliau berkata, kilang kertas berkenaan mengaku membuat pelepasan sisa pada 9 Jun lalu secara tidak sengaja.

Katanya, kilang yang memproses kertas, majalah dan akhbar terpakai itu sudah beroperasi sejak 1996.

“Kilang terbabit tidak beroperasi atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula 2 Jun hingga 14 Jun disebabkan terdapat kluster Covid-19 pekerja di situ.

“Hasil siasatan kilang terbabit mengakui membuat pelepasan efluen selama sejam dari kolam takungan terakhir petang 9 Jun lalu secara tidak sengaja.

“Namun demikian sudah berlaku pelanggaran akta, sama ada sengaja ataupun tidak akibat kecuaian. Peralatan yang menyebabkan pelepasan sisa disita dan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh 14 hari,” katanya.

Menurutnya, kilang kertas itu didakwa mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan jika sabit kesalahan, denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, Jabatan Perikanan sedang menyiasat dan menilai kerugian dihadapi oleh penternak ikan sangkar dalam kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.