Hakim divaksin mulai Isnin, kata menteri

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat akan mengetuai anggota badan kehakiman tertinggi untuk mendapatkan vaksin minggu depan, menurut Takiyuddin Hassan.

PETALING JAYA: Hakim di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan akan menerima vaksin Covid-19 mulai Isnin depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan.

“Kerajaan menganggap hakim dan pegawai mahkamah sebagai petugas barisan hadapan kerana tugas mereka berhubungan terus dengan orang ramai.

“Dengan pemberian vaksin, diharap dapat mengurangkan risiko pendedahan mereka kepada virus Covid-19,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat akan mengetuai anggota badan kehakiman di mahkamah tinggi mendapatkan vaksin minggu depan.

“Pejabat Menteri Undang-undang juga sedang menguruskan agar semua hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan majistret diberikan vaksin dengan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri berkenaan.”

Semalam, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan segera memberi vaksin kepada anggota badan kehakiman dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, semua anggota badan perundangan sudah divaksin walaupun Parlimen tidak bersidang, manakala anggota badan kehakiman “ketinggalan” walaupun mahkamah terus beroperasi.

Fasa kedua PICK, yang bermula bulan lalu dan akan berlangsung hingga Ogos ini, dijangka melibatkan 9.4 juta penerima terdiri daripada warga emas, kumpulan berisiko tinggi dan orang kelainan upaya (OKU).

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, AG Kalidas berkata, mereka menulis surat kepada kerajaan sejak Mac lalu untuk peguam serta pegawai perkhidmatan kehakiman dan perundangan diberikan vaksin.

“Peguam yang mewakili tertuduh yang dibawa dari penjara atau pusat tahanan berisiko dijangkiti Covid-19.

“Hakim dan pegawai perundangan juga berdepan risiko tinggi kerana sifat tugas mereka yang berdepan (orang ramai).”

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.